27 October 2019

REMY ISHAK CUTI PANJANG: "ENERGI NEGATIF SANGAT LAIN, CUBA KAWAL TAK BOLEH"


"Saya sekarang ini dalam fasa perubatan, jadi lebih baik saya kurangkan bercakap tentang benda ini, ianya hanya akan mendorong perkara tidak baik sebab (masalah) masih belum selesai lagi. Doktor pun minta saya santai-santai dan rileks sahaja takut jika perasaan itu membawa ke lembah yang lebih gelap.





"Energi negatif itu sangat lain, dia bawa saya ke arah luar kemampuan saya, dah cuba kawal tapi tak boleh. Cumanya sekarang ini, saya okay Alhamdulillah," kata pelakon Remy Ishak yang memberitahu dia diminta doktor supaya tidak terlalu berfikir mengenai perkara itu kerana bimbang ia akan mendorong ke arah tindakan luar kawalan.

Susulan beberapa status menggambarkan dirinya menjadi mangsa sihir, Remy memaklumkan dia kini sedang mendapatkan rawatan perubatan Islam dan moden bagi memulihkan semula keadaan tubuhnya. Pada 17 Oktober lalu, pelakon filem 'Sangkar' ini memuatnaik status memberi amaran kepada seseorang di InstaStory dan ia telah meninggalkan tanda tanya dalam kalangan netizen.

Klik untuk gambar besar


Menerusi status tersebut, Remy menegaskan dia akan mengambil tindakan sewajarnya jika ada perkara buruk yang berlaku terhadap keluarganya akibat perbuatan sihir. Sementara itu, sepanjang tempoh pemulihan, Remy memberitahu dia akan mengambil cuti sehingga penghujung tahun ini. Kata pelakon filem 'Dendam Pontianak' ini, dia mahu menenangkan fikiran dan meluangkan masa bersama keluarga tercinta.

"Saya ambil keputusan untuk berehat dulu dan habiskan masa di rumah bersama dengan keluarga. Sekarang ini pun sibuk dengan promosi produk Origina dan Insya-Allah selepas rehat ini saya akan teruskan dengan beberapa projek lakonan. Apa-apa pun saya nak ucapkan terima kasih kepada peminat yang mendoakan untuk saya," ujarnya.

Tambah Remy, kesihatan dirinya lebih menjadi keutamaan berbanding tawaran-tawaran berlakon yang terpaksa ditolak sepanjang tempoh berehat: "Inilah tempoh paling lama saya ambil untuk berehat sepanjang menjadi anak seni. Saya ada menerima pelbagai tawaran tetapi hanya selepas tempoh berehat saya tamat".




www.myartis.com / Sumber & foto: mStar & Instagram Remy Ishak


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: