09 October 2019

"SELAGI TERBABIT DADAH... JANGAN MUDAH PERCAYA KATA, MAAF..." - AMENG


Ketika ditanya berkenaan erti dan nilai kemaafan diucap individu yang juga penagih dadah, penyanyi Ameng berkata jangan mudah terpedaya atau mempercayai kata-katanya termasuk permohonan maaf diucapkan. Apatah lagi, dalam kalangan segelintir artis yang terpalit dengan isu dadah sering kali dilihat memohon maaf dengan mudah biarpun sudah berkali-kali ditahan dan kemudiannya dibebaskan.





"Selagi seseorang individu itu terbabit dengan penagihan dadah, jangan mudah terpedaya atau mempercayai kata-katanya termasuk permohonan maaf diucapkan. Saya berani meluahkan kenyataan sebegini berdasarkan pengalaman diri sendiri," kata pemilik nama sebenar Wan Aminuddin Wan Ismail, 50.

Ameng berkata seseorang individu yang sudah terkait dengan penagihan dadah untuk kembali ke pangkal jalan melalui kehidupan normal bukan perkara mudah: "Ia hanya akan dapat dilakukan individu terbabit (penagih itu) jika dia memiliki semangat kuat dalam diri untuk berubah. Senang cakap, segala pokok pangkalnya datang daripada diri sendiri.Jika keinginan nak berubah itu tidak ada dalam diri, berpuluh kali minta maaf pun tidak membawa apa-apa perubahan kekal. Ia sekadar bersifat sementara," ujarnya ketika ditemui pada sidang media persembahan amal Artis Legenda 90-an (2.0) di Kuala Lumpur semalam.

Kata bekas vokalis kumpulan Spring itu, dia bersyukur pengalaman menerima beberapa sebatan di penjara sebelum ini cukup membuatkannya insaf dan berusaha memperbaiki kehidupan baru ke arah lebih baik: "Parut rotan sebatan diterima ini masih meninggalkan kesan kekal pada badan saya yang akan dibawa hingga ke liang lahad.

Klik untuk gambar besar


Begitu juga persepsi skeptikal segelintir masyarakat kepada bekas penagih seperti saya. Walaupun saya kini bebas dadah dan menjalani kehidupan normal lebih sihat serta positif, tidak semua orang boleh menerimanya. Pandangan serong masyarakat masih lagi ada dan tak boleh dielak," tuturnya.

Apapun, Ameng berkata, kepercayaan pada kemaafan diminta seseorang penagih itu boleh diterima sekiranya individu berkenaan sudah benar-benar menunjukkan perubahan menyeluruh pada diri dan kehidupannya. Katanya, perubahan itu boleh dilihat apabila individu terbabit sudah kembali ke jalan Allah, mendekatkan diri pada agama, lebih sihat, ceria dan positif.

Ditanya juga mengenai perlunya pasangan hidup bagi penagih, Ameng berkata, paling utama kena buktikan diri sudah betul-betul berubah dan insaf terlebih dahulu. Mengulas juga isu 'vape', Ameng berkata, jika dadah dan rokok itu hukumnya haram, begitulah juga dengan vape: "Jika benda itu boleh membawa kebinasaan pada diri, jauhkan saja".

Ameng pernah dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dengan dikenakan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Melaka pada 12 April 2011 kerana kesalahan penyalahgunaan dadah. Bagaimanapun, hukuman itu dipendekkan kerana kelakuan dan disiplin cemerlang Ameng sepanjang dalam tahanan hingga dia dibebaskan dari Penjara Kluang, Johor pada 14 Jun 2016.


www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro & Instagram Ameng Spring


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: