18 October 2019

TERLIBAT KEMALANGAN - DAYANA ROZA DIRAWAT, MUNTAH TANPA HENTI


"Waktu hendak masuk selekoh tiba-tiba kereta di hadapan saya berhenti mengejut. Untuk mengelak saya menghala kereta ke penghadang jalan memandangkan di sebelah kiri ada sebuah lagi kereta. Sewaktu kejadian saya tidak sedar seketika dan semuanya terjadi agak pantas. Saya sedar apabila pemandu trak penunda kereta mengetuk cermin kereta dan meminta saya keluar dari kenderaan.





"Waktu itu saya rasa mamai dan tanya kepada pemandu itu apa yang sudah berlaku. Apabila dia menceritakan kembali apa terjadi baru saya sedar terbabit kemalangan," demikian kata pelakon Dayana Roza yang terpaksa dirawat di hospital kerana muntah tanpa henti dan sakit di kepala selepas terbabit dalam kemalangan kelmarin berhampiran kediamannya.

Pelakon utama filem 'Minah Moto' itu, sewaktu dihubungi berkata, selepas terbabit dengan kemalangan dia tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan hanya bengkak serta luka kecil di kepala, lutut dan jari. Katanya, insiden berlaku selepas dia habis makan lewat malam memandangkan penggambaran juga habis lewat.

Sewaktu keluar dari kereta katanya, dia langsung tidak berasa sakit dan membuat keputusan untuk terus pulang ke rumah: "Keesokannya selepas bangun tidur baru saya rasa badan sakit dan beberapa bahagian tubuh mula bengkak serta lebam termasuk di bahagian kiri kepala.

Klik untuik gambar besar


"Itupun saya masih menganggap masih baik serta keluar untuk membuat laporan polis dan sebagainya. Bagaimanapun hari ini kepala saya rasa sakit teramat sangat dan muntah tanpa henti. Bimbang dengan situasi ini saya terus ke hospital dan kini doktor rawat di wad," katanya.

Bagaimanapun kata Dayana, dia bersyukur kerana selepas membuat ujian x-ray tulang tengkuk mahupun tengkorak tidak mengalami masalah dan tiada juga pendarahan dalam kepala: "Begitupun doktor terus memantau kerana rasa hendak muntah dan kepala berdengung masih lagi ada".

Katanya, dia tidak pergi mendapatkan rawatan ke hospital sebaik terbabit kemalangan kerana beranggapan selamat apatah lagi waktu itu memakai tali pinggang keledar: "Saya rasa disebabkan pakai tali pinggang keledar saya selamat dan tidak cedera, apatah lagi tidak ada pendarahan atau luka besar berlaku. Bagaimanapun kata doktor sebenarnya apabila tiada pendarahan besar atau kecederaan tidak nyata itu lagi bahaya kerana bimbang berlaku pendarahan dan kecederaan dalaman," ujar

Menurutnya, dia mengharapkan semua pihak mendoakan supaya tiada perkara serius berlaku terhadapnya: "Tambahan pula saya harus keluar hospital secepat mungkin kerana terikat dengan penggambaran drama yang masih berjalan".


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro & Instagram Dayana Roza


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: