14 November 2019

"AINUL SUDAH BUANG AIR KECIL SENDIRI, WALAUPUN BERGANTUNG MESIN" - ALI PUTEH


Anggota kumpulan Puteh, Ali atau nama penuhnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan memberitahu, anak keduanya, Sharifah Nur Ainul Mardhiah, masih belum menunjukkan perubahan positif sejak menjalani pembedahan membetulkan injap dan menutup tiga lubang pada jantungnya di Hospital Serdang, tiga hari lalu.





Ali berkata, anaknya yang berusia tiga bulan itu terpaksa ditidurkan sejak menjalani pembedahan selama 12 jam itu berikutan komplikasi paru-paru dan kini bergantung sepenuhnya pada alat bantuan pernafasan. Tambah Ali, dia dan isteri juga terpaksa menginap di hotel berhampiran supaya senang berulang-alik menjenguk anak mereka.

"Saya cuma berharap keajaiban daripada Allah, meskipun doktor memaklumkan peluang anak untuk sembuh hanya 50-50. Memandangkan jarak rumah kami di Gombak jauh dari hospital, saya dan isteri membuat keputusan menginap di hotel berhampiran yang jaraknya cuma tiga minit supaya senang bergegas ke hospital jika berlaku kecemasan.

"Dalam keadaan Ainul sekarang, ibu bapa mana yang tidak risau. Kami hanya dibenarkan menjenguk anak pada waktu lawatan dan saya kira ini keputusan terbaik. Setakat ini, Ainul belum menunjukkan sebarang perubahan, namun kami berharap ada keajaiban yang berlaku. Saya kasihan melihat keadaan Ainul kerana dia masih terlalu kecil untuk melalui dugaan itu," katanya.

Klik untuk gambar besar


Ali ketika dihubungi berkata, selain masih bergantung dengan mesin bantuan pernafasan, Ainul menunjukkan sedikit tanda positif apabila sudah membuang air kecil sendiri: "Hari ini Ainul sudah buang air kecil sendiri, walaupun masih bergantung dengan mesin, perkembangan itu melegakan sedikit hati saya kerana sekurang-kurangnya masih ada maklum balas daripada tubuh badannya. Apa pun saya tidak akan berhenti berdoa dan terus mengharapkan keajaiban daripada Allah SWT serta doa daripada orang ramai.

Ali berkata, selepas menjalani pembedahan membetulkan injap jantung yang terbalik, Ainul berpeluang meneruskan hidup seperti kanak-kanak normal yang lain: "Namun, berlaku komplikasi ketika pembedahan dan doktor sudah berusaha sedaya upaya menyelamatkannya.

"Ainul memasuki dewan bedah pada jam 8 pagi, tetapi pada jam 3 petang, kami dihubungi pihak hospital meminta segera ke sana kerana darah tidak cukup dan mereka memerlukan darah isteri. Pembedahan bagaimanapun, diteruskan kembali sehingga jam 9 malam," jelasnya yang memohon doa orang ramai supaya anaknya akan sedar dan sihat.



Berikutan keadaan Ainul yang membimbangkan itu, Ali berkata, dia dalam dilema meneruskan perjuangannya dalam program Maharaja Lawak Mega 2019 yang sudah memasuki minggu ketiga, Jumaat ini. Katanya, dia serba salah terhadap dua ahli kumpulan Puteh iaitu Mamak dan Man kerana tidak dapat memberikan komitmen, selain bimbang mereka disingkirkan jika dia tidak bersama.

"Saya tidak mahu menyusahkan ahli kumpulan disebabkan masalah ini, jadi sama ada bersedia atau tidak, saya perlu naik ke pentas. Saya tidak mahu Puteh tersingkir jika saya tidak hadir. Ia tentu sekali akan mengecewakan dua sahabat saya. Dalam keadaan berat hati, saya perlu juga bertanding minggu ini dan saya bawa kekuatan Ainul bersama di atas pentas.

"Dalam situasi sekarang, saya tidak mampu memberikan komitmen sepenuhnya, terutama ketika latihan. Saya hanya harapkan bantuan mereka untuk menerangkan strategi persembahan. Saya sangat berterima kasih kerana mereka sanggup menawarkan diri datang ke hotel supaya kami dapat berlatih bersama-sama, walaupun saya tidak meminta berbuat demikian," ujar Ali.

Ali juga berterima kasih kepada peminat yang tidak putus mendoakan kesejahteraan anaknya, selain rakan artis yang sudi berkongsi status mengenai Ainul di laman sosial mereka bagi memohon doa semua. Ainul yang dilahirkan pada 6 Ogos lalu disahkan menghidap jaundis dan dipindahkan ke Hospital Ampang selepas lima hari dilahirkan. Selain Ainul, Ali dan isterinya, Melati Puteri Abdullah turut mempunyai seorang lagi anak perempuan, Sharifah Nur Aaira Qaireen yang berusia dua tahun.




www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian, Harian Metro & Instagrajm Ali Puteh


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: