24 November 2019

BERANGKAT 28 NOVEMBER INI - HAQIEM BERSYUKUR TUNAI UMRAH BERSAMA KELUARGA


Simpan hasrat untuk menunaikan umrah sejak tiga tahun lalu, terkini hasrat tersebut akhirnya tercapai apabila penyanyi dan komposer, Haqiem Rusli bakal berangkat ke Makkah bagi mengerjakan umrah pada 28 November ini. Penyanyi 'Tergantung Sepi' itu meluahkan rasa syukur diberikan peluang menjejakkan kaki ke Tanah Suci pada usia muda dan memaklumkan, dia tidak berseorangan ke sana, sebaliknya akan menunaikan ibadat berkenaan bersama keluarga besarnya.





Lebih menggembirakan Haqiem, 21, apabila dia dapat membalas jasa kedua-dua ibu bapanya: "Saya sebenarnya menyimpan hasrat untuk menunaikan umrah, sejak tiga tahun lalu. Justeru, saya amat bersyukur apabila impian itu akhirnya tercapai juga.

"Apatah lagi, saya bakal menunaikan umrah bersama keluarga dan sanak-saudara. Saya amat bersyukur kerana diberikan kesempatan untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci pada usia 21 tahun. Alhamdulillah... Semoga semua urusan dipermudahkan sepanjang kami berada di sana nanti," katanya.

Klik untuk gambar besar


Sementara itu, ketika mengulas kejayaannya memenangi trofi Komposer Muda Berpotensi, Anugerah Badan Pelindung Hak Cipta Malaysia (MACP) 2019, baru-baru ini, Haqiem atau nama sebenarnya Ridzuan Haqiem Rusli berharap dapat mengadakan program pencarian bakat muda.

"Saya tahu, ramai golongan sebaya dengan saya meminati bidang muzik dan mahu menjadikannya sebagai kerjaya. Justeru, diharapkan program yang saya ilhamkan ini bakal membantu mereka mencapai cita-cita masing-masing," ujarnya.

Ditanya mengenai dakwaan konon dia enggan mencipta lagu untuk penyanyi wanita, Haqiem berkata, ia tanggapan tidak benar: "Mengenai ciptaan lagu, saya tidak hanya menghasilkan karya buat artis lelaki. Sebaliknya, saya turut berkarya untuk penyanyi wanita, namun ia lebih ke arah ketuhanan".






www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram Haqiem Rusli


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: