17 November 2019
KEMELUT RUMAH TANGGA - ELVINA MOHAMAD TAK KESAL KONGSI
Tidak menyesali tindakannya berkongsi kemelut rumah tangga di laman sosial sehingga menjadi bulan ramai, pelakon Datin Elvina Mohamad, 24, berkata, tindakan berkenaan dilakukan sebagai peringatan untuk golongan wanita: "Ia sudah pun berlaku dan saya tidak pernah menyesali tindakan itu. Biarlah masalah rumah tangga diketahui umum sekali pun, asalkan saya dapat memberi peringatan kepada wanita di luar sana supaya menjaga batas apabila berurusan dengan lelaki berstatus suami orang.
"Sebenarnya, saya dan suami sudah pun membuka buku baharu. Kalau boleh, kami sama-sama tidak mahu mengingati kembali peristiwa hitam yang berlaku hampir setahun lalu. Dugaan itu menguatkan lagi kasih sayang kami, malah mengeratkan hubungan saya dan suami. Dalam hal ini, saya tidak berhak meletakkan kesalahan itu di bahu suami semata-mata. Saya akui turut berbuat silap," kata ibu kepada seorang cahaya mata lelaki itu.
Peristiwa itu juga, menurut Elvina, banyak mengajar dirinya untuk lebih berwaspada: "Saya menjadi lebih berhati-hati bukan sahaja dengan suami, tetapi juga orang di sekeliling, termasuk ahli keluarga sendiri. Jika sebelum ini saya memberi sepenuh kepercayaan kepada semua orang, kini saya perlu menyimpan 20 peratus kepercayaan itu untuk diri sendiri," tuturnya yang hampir dua tahun mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Datuk Mohd Haniff Borhan, 33.
Klik untuk gambar besar
Kemelut rumah tangga pelakon itu mula dihidu apabila dia menyelar tindakan seorang ejen insurans wanita yang didakwa cuba menggoda suaminya. Insiden berkenaan berlaku ketika Elvina sedang berpantang selepas melahirkan anak sulungnya, Karl Mateen, 1 Disember lalu. Sementara itu, bercerita mengenai kerjaya lakonan, Elvina bersyukur bakatnya masih mendapat tempat perhatian produser drama tanah air meskipun sudah berumah tangga dan memiliki cahaya mata.
Walaupun dia boleh sahaja duduk bersenang lenang di rumah sambil melayan anak tunggal, wanita terbabit memilih untuk kembali aktif berlakon selepas berehat lebih setahun: "Rugi menolak rezeki yang datang. Sewaktu mengandung, timbul juga sedikit kebimbangan jika kehadiran saya dalam industri tak diperlukan lagi. Namun, saya akui agak terkejut kerana selepas bersalin, saya tidak sempat berehat lama. Ada sahaja tawaran lakonan yang datang.
"Saya pula berlakon bukan kerana wang dan saya juga tidak mahu orang berfikir, apabila sudah berkahwin dengan orang berduit, kita tak perlu lagi bekerja. Sebenarnya, berlakon seakan-akan satu terapi. Jika sesetengah pelakon tidak suka berada di set, saya pula sebaliknya. Bagi saya, inilah kesempatan untuk bertemu dan bertanya khabar dengan rakan," ujarnya yang memastikan tidak bekerja sehingga jauh malam memandangkan anaknya masih terlalu kecil dan turut berkata dia bertuah kerana mempunyai suami yang sangat memahami kerjanya sebagai pelakon.
www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Hiburan, Instagram Elvina Mohamad & Haniff Borhan
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment