29 November 2019

NABIL MAHIR AKUI BERCINTA DENGAN AYDA JEBAT, KELUARGA SUDAH BERTEMU


"Memandangkan Ayda sudah membuka mulut (mengenai hubungan mereka), sudah tiba masanya untuk saya memberi noktah kepada teka-teki ini. Benar, kami menjalinkan hubungan cinta... Cuma kurang pasti tarikh cinta kami mula berputik. Disebabkan sudah dewasa, kami bercinta apabila masing-masing selesa. Dapat dirasakan, perasaan indah yang terbit dalam hati kami berdua semestinya lebih daripada sekadar kawan," jelas pengacara Nabil Mahir yang mengaku menjalin cinta dengan penyanyi Ayda Jebat, 27, dan memberitahu hubungan mereka bukanlah rahsia kepada keluarga.





Mendakwa sudah menemui keluarga masing-masing, Nabil menjelaskan, dia dan Ayda sudah lama berkawan tetapi menjadi rapat sejak beberapa bulan lalu. Namun, tambahnya, baik dirinya mahupun Ayda, masing-masing belum ada perancangan untuk membawa perhubungan mereka ke fasa seterusnya. Nabil berkata, hubungan mereka diketahui keluarga masing-masing bagi mengelak timbul salah faham atau masalah pada masa hadapan.

"Ahli keluarga kami sudah berjumpa. Ini bagi mengelak timbul sebarang masalah pada masa hadapan. Lebih mudah, sekiranya mereka selesa berjumpa dan bergaul. Apa yang pasti, kedua-dua pihak keluarga sama ada saya mahupun Ayda, penerimaannya baik sahaja. Baru saja meletakkan 'label' pada hubungan, saya fikir masih terlalu awal untuk berkongsi lebih lanjut mengenai fasa seterusnya. Perancangan itu tetap ada dan tipulah kalau kami kata tak pernah bincang langsung mengenainya (ke arah perkahwinan)," katanya sambil menambah mereka mahu mengenali hati budi masing-masing.

Klik untuk gambar besar


Ditanya bila mahu menamatkan zaman bujang, Nabil menjelaskan, dia sudah bersedia kerana usia sudah menjangkau 31 tahun: "Tipu jika saya katakan tidak pernah berbicara mengenai perkahwinan, cuma perbualan itu secara kasual. Belum ada sebarang perancangan kerana kami tidak mahu terburu-buru membuat keputusan. Hubungan ini masih baharu, jadi kami perlu mengenali satu sama lain lebih jauh lagi. Doakan baik-baik untuk hubungan ini".

Nabil yang juga bekas pengacara HLive berkata, dia dan Ayda memohon kepada peminat mereka untuk terus mendoakan yang baik. Hubungan rapat mereka berdua mula menjadi perhatian ramai apabila didapati kerap berbalas komen di media sosial. Sama ada Nabil atau Ayda, kedua-duanya pantas berbalas komen di Instagram (IG) masing-masing yang akhirnya timbul tanda tanya apakah wujud hubungan cinta di antara mereka.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian & Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: