03 November 2019
SEKALI LAFAZ - SARAH HILDEBRAND SAH BERGELAR ISTERI OTTO GILLEN
Alhamdulillah... tahniah kami ucapkan kepada pelakon dan pengarah berdarah campuran, Sarah Hildebrand, 29, yang telah sah bergelar isteri kepada pilihan hatinya iaitu seorang pelukis kacukan Filipina-Amerika, Otto Gillen, dengan sekali lafaz pada jam 10.23 pagi hari ini (3 November 2019).
Pasangan itu dinikahkan Pendaftar Perkahwinan Perceraian dan Rujuk, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Ustaz Hilmi Saadan. Majlis yang diadakan serba sederhana itu berlangsung di Masjid As Sobirin, Lembah Keramat dengan dihadiri kira-kira 100 tetamu.
Pada majlis tersebut, pelakon drama 'Pujaan Hati Kanda' itu menerima mas kahwin RM300 dan sebentuk cincin: "Saya dan suami sepakat melakukan hanya yang wajib serta bersederhana. Alhamdulillah, fasa baharu untuk hidup saya dan suami sudah bermula. Saya berdoa, semoga segala-galanya dipermudahkan. Insya-Allah," kata Sarah.
Pasangan itu mula berkawan rapat sejak Februari lalu selepas bertemu semula menerusi laman sosial, Facebook: "Kebetulan, saya turut berada dalam kumpulan sekolah sama dengan abangnya. Kami bertemu kembali ketika saya melawat bapa yang kurang sihat di Arkansas, Amerika Syarikat, awal tahun ini. Suami yang berdarah kacukan Filipina-Amerika memeluk Islam pada September lalu. Alhamdulillah, urusan jodoh kami seperti dipermudahkan," tuturnya.
Klik untuk gambar besar
Dalam pada itu, Sarah meluahkan rasa syukur majlis pernikahannya berjalan dengan lancar serta dipermudahkan. Sarah berkata lagi, dia percaya Otto adalah lelaki terbaik untuknya dan mereka saling memahami kerana sama-sama berdarah kacukan.
"Alhamdulillah, majlis ini berjalan dengan lancar seperti direncanakan. Saya percaya Otto lelaki yang terbaik untuk dijadikan suami dan mampu membahagiakan saya hingga ke akhir hayat. Kami juga saling memahami kerana sama-sama berdarah kacukan," ujarnya.
Lebih bermakna lagi, di majlis akad nikah tersebut, Sarah menggayakan persalinan hasil rekaan ibunya, Che Arbi Hashim. Dalam pada itu, difahamkan majlis resepsi mereka belum diputuskan lagi. Terdahulu, Sarah pernah menjalin hubungan dengan pengacara, Nabil Mahir tetapi hubungan itu berakhir awal tahun ini selepas lima tahun bercinta.
www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian, Harian Metro, Instagram Sarah Hildebrand & Otto Gillen
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment