04 November 2019

TAK SANGGUP KHIANATI SOFAZR - AMEER LEPASKAN TAWARAN BERAKSI SOLO


Sanggup menolak tawaran mengadakan persembahan secara solo demi menjaga perasaan teman sekumpulan, vokalis Sofazr, Ameer atau nama lengkapnya Amir Mahiyidin, mengakui pernah beberapa kali mendapat tawaran beraksi solo kerana dia tidak akan sesekali mengkhianati sahabatnya hanya kerana mementingkan diri.





"Walaupun kebelakangan ini, kami jarang buat persembahan bersama kerana sibuk dengan komitmen masing-masing, itu tidak bermakna kami sudah berpecah. Tidak dinafikan, saya pernah ditawarkan membuat persembahan secara solo, namun saya terpaksa menolak. Ramai yang mengatakan, tindakan saya itu seperti menolak rezeki.

"Mereka juga mempersoalkan, mengapa saya perlu berkorban sedangkan anggota lain bebas membuat persembahan tanpa saya. Namun, saya percaya pada rezeki. Kalau sudah tertulis untuk saya, pasti saya terima. Tetapi, jika sebaliknya, saya tidak kisah. Pada saya, menjaga perasaan anggota kumpulan lebih penting, Saya tidak mahu mereka terasa, malah enggan dianggap lebih pentingkan diri," katanya.

Penyanyi yang popular dengan lagu 'Dan Bila Esok' itu berkata, hubungan erat yang terjalin antara mereka selepas lebih sedekad bersama, membuatkan dia kekok membuat persembahan tanpa anggota lain: Kami sudah 15 tahun bersama dan saya akui, setiap kali menyanyi tanpa anggota Sofazr yang lain, saya kekok. Apatah lagi, saya selalu menyanyikan lagu popular Sofazr dalam setiap persembahan.

"Tidak kisah jika beraksi tanpa anggota lengkap, janji mereka ada bersama mengiringi persembahan saya," ujarnya yang turut memaklumkan Sofazr akan kembali merakamkan single baharu yang dijangka menemui peminat, awal tahun depan.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: