28 December 2019

AKSI 'PANAS' TULAR: "JIKA TERBUKTI... KITA AKAN AMBIL TINDAKAN..." - ZED ZAIDI


Wajah selebriti yang dikaitkan dengan video aksi panas yang sebelum ini kecoh itu jugalah yang ditonton di kaca televisyen (TV) saban hari. Realitinya, biarpun satu persatu kes foto dan video mengaibkan yang pelakunya dikatakan mirip selebriti tular, wajah artis yang sama masih menghiasi drama, telefilem mahupun program hiburan seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.





Benarlah, soal sahih atau tidak video dan foto tular, mahupun dakwaan apakah benar selebriti terbabit melakukan perbuatan tidak bermoral itu adalah sesuatu yang boleh diperdebatkan atau disangkal. Namun, tidakkah lebih adil atas nama dunia seni dan kepentingan kelompok artis yang dikatakan tidak mempunyai sejarah 'hitam', selebriti yang terbabit dalam kes foto dan video panas ini dikenakan tindakan atau paling tidak amaran oleh penerbit mahupun stesen penyiar?

Apatah lagi jika selebriti sama dihambat satu persatu kontroversi serupa, biarpun sekadar dakwaan, bukankah suatu bentuk tindakan wajar dikenakan sebagai pengajaran? Apa yang dilihat sekarang umpama menyapu habuk ke bawah permaidani. Biarpun sekerap manapun isu foto dan video aib didedahkan, kehangatan yang dilihat hanya sementara. Apabila artis tampil menafikan dengan susulan tindakan undang-undang termasuk laporan polis dibuat, cerita sensasi terus suam hingga tidak diperkatakan lagi.

Peminat termasuk pemerhati dunia hiburan mendesak sekurang-kurangnya, jika terbukti selebriti terbabit dengan skandal panas, mereka wajar diberi hukuman setimpal agar menjadi pengajaran kepada diri sendiri dan insan lain. Berbicara mengenai soal hukuman, pastinya reaksi pengurusan stesen TV boleh dijadikan petunjuk dalam mengkaji bagaimana isu moral artis 'panas' dinilai badan penyiar.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Johan Ishak berkata, pihaknya lebih selesa mengambil pendekatan secara diplomasi terhadap mana-mana selebriti yang didakwa mempunyai video dan foto tidak senonoh yang tersebar.

"Kami tidak akan membuat keputusan terburu-buru. Kita akan memanggil mereka untuk bertanyakan soal kesahihan video atau foto yang tersebar. Kadang-kadang mereka (selebriti) ini tidak mahu mengaku bila kita bertanya secara berdepan. Jadi untuk berlaku adil, kita akan jalankan siasatan.

Klik untuk gambar besar


"Jika terbukti mereka terbabit dalam skandal video panas, kita akan ambil tindakan terhadap mereka. Kita tak mahu disebabkan perkara itu, produk mereka yang ditayangkan di semua saluran milik MPB, terjejas apabila menerima banyak kecaman netizen," katanya.

Mengulas lanjut, Johan berkata, setiap program atau drama yang diterbitkan, stesen TV akan menetapkan sasaran produk terbabit memberi pulangan terutama daripada segi iklan: "Apabila kita terbitkan sesebuah program ataupun drama, tentunya kita mengharapkan iklan masuk. Kita tidak mahu penaja ‘lari’ jika berlaku keadaan seperti ini... Jelasnya ia akan menyusahkan banyak pihak".

Biarpun tegas mengenakan tindakan terhadap selebriti bersalah, namun Johan memberitahu, pihaknya masih berhati perut dan tidak kejam ketika melaksanakan hukuman: "Sebelum ini, ada selebriti terbabit dengan skandal video dan foto lucah. Kita tidak 'gam' mereka selama-lamanya. Sebaliknya, mereka hanya akan direhatkan sehinggalah sampai suatu tempoh sesuai. Kita bagi reda keadaan reda dahulu.

"Kami tidak mahu mengambil risiko untuk terus menampilkan wajah selebriti terbabit dalam mana-mana program ketika warganet memperkatakan perilaku buruk mereka. Apabila keadaan sudah kembali tenang, barulah kita minta dia kembali mewarnai dunia seni,” katanya.

Bagaimanapun, kata Johan, hukuman itu tidak diguna pakai kepada pelakon yang drama dibintangi sedang ditayangkan di TV: "Ini hanya untuk pelakon yang drama lakonannya bakal ditayangkan. Kita akan menggantikan drama yang dibintanginya itu dengan produk lain demi kebaikan bersama".

Ketika warganet menuding jari kepada selebriti dan dengan mudah menjatuhkan hukum apabila tersebarnya video dan foto 'panas', Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi pula meletakkan kesalahan itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Zed mendakwa, sebagai badan yang bertanggungjawab mengendalikan kes jenayah siber, SKMM sepatutnya lebih cekap menjalankan siasatan agar imej artis tercemar dapat dibersihkan:



"Artis sering menjadi sasaran kumpulan penipu kerana mereka dikenali ramai. Biasanya, kumpulan ini akan memperdaya selebriti demi mendapatkan wang dengan mudah. Perkara ini boleh dibendung jika pihak MCMC cekap dalam menjalankan siasatan," dakwa Zed.

Bagaimanapun, Zed akur jika isu kekurangan kakitangan mendatangkan masalah kepada SKMM untuk mengendalikan kes seumpama itu: "Saya faham kekurangan kakitangan menyebabkan agak sukar untuk SKMM bertindak pantas. Namun, jika perkara ini dibiarkan, kes yang serupa akan bertambah. Lebih ramai lagi artis akan menjadi mangsa".

Selain itu, Zed berkata, suatu akta atau peruntukan undang-undang khusus perlu digubal untuk melindungi artis dan penggiat seni di Malaysia: "Industri hiburan memberi sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak satu peratus. Namun, hakikatnya, tiada satu akta yang berkait dengan bidang seni diwujudkan.

"Apabila kita ada akta khusus, ia boleh menjadi garis panduan dan mengawal selia perilaku penggiat seni. Ini termasuk kemungkinan apa yang akan artis atau penggiat seni hadapi jika melakukan kesalahan yang termaktub dalam akta berkenaan. Jika tidak, sampai bila-bila pun hukuman yang dikenakan hanya retorik sahaja disebabkan tiada penguatkuasaan yang dibuat," katanya.

Zed atau nama penuhnya, Rozaidi Jamil turut mengingatkan selebriti mengenai bahayanya kumpulan penipu dalam media sosial: "Modes operandi golongan penipu ini biasanya akan menggunakan media sosial untuk mendekati kumpulan sasaran iaitu artis. Mereka akan cuba memerangkap artis ini kata-kata manis dan janji palsu.

"Jika tidak berhati-hati, mereka akan terperangkap dan menjadi mangsa seperti yang kita lihat hari ini. Saya pernah berdepan situasi ini apabila ada pihak menghubungi melalui media sosial untuk berbual. Komunikasi jadi melarat-larat seperti mengajak untuk melakukan perbuatan tidak senonoh. Mujur saya beringat dan sedar dengan permainan licik mereka," dakwanya.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: