24 December 2019

BILA BOS SUSU DISENANGI RAMAI, TAK 'OVER' MACAM PENAJA GV LAIN


Farm Fresh, pengeluar rangkaian susu segar dan produk tenusu tempatan pertama kali menaja rancangan hiburan popular Gegar Vaganza 2019 (GV2019). Namun begitu, ketua Pegawai Eksekutif Farm Fresh, Azmi Zainal atau lebih dikenali sebagai Bos Susu itu telah mendapat pujian netizen.





Menerusi tweet yang dilayangkan oleh netizen, rata-rata memuji dan mengagumi tindakan bersahaja Azmi atau lebih dikenali sebagai bos susu sepanjang 11 minggu siaran GV2019. Malah, sikap profesional Azmi turut mendapat sokongan netizen seandainya syarikat tersebut meneruskan tajaan GV pada masa akan datang.

"En Azmi dari Farm Fresh ni patut jadi contoh para penaja." - "Tak gila mic, tak gila naik stage, tak terkinja-kinja, tak ada kontrovesi." - "Bercakap bila slot dia tiba, tak rampas mic pengacara. Kudos Farm Fresh," tulis salah seorang pengguna @muhdnaimmustafa di akaun Twitternya.

Pengguna itu antara lainnya berkongsi keunikan jenama susu berkenaan yang punyai sebuah kilang memproses susu segar di Pahang: "Kilang Farm Fresh berada di Muadzam Shah, kampung saya. Hari itu kahwin pun photoshoot depan kilang dia" - "Sebab kawasan itu cantik. Macam New Zealand," pujinya.

Farm Fresh, pengeluar rangkaian susu segar dan produk tenusu tempatan merupakan penaja utama GV2019. Konsert akhir program tersebut pada Ahad lalu telah menobatkan Hady Mirza dan Naqiu Boboy sebagai juara bersama program itu tahun ini sekali gus melakarkan sejarah punyai dua pemenang dalam satu pertandingan hiburan.

Klik untuk gambar besar


Ketika ditanya berhubung perkara ini, Azmi berkata, dia enggan terikut-ikut dengan teknik pemasaran viral yang biasa dilakukan oleh pengasas produk lain ketika muncul secara langsung di televisyen. Menurut Azmi, dia percaya produk yang berkualiti akan mendapat tempat di hati pelanggan dan teknik pemasaran yang betul secara tidak langsung membawa imej baik terhadap jenamanya.

"Setiap pengasas produk mungkin ada karakter tersendiri dalam pemasaran jenama mereka, memandangkan produk kita digunakan oleh semua peringkat usia terutamanya kanak-kanak, jadi kita kena bawa imej baik dan tak perlu nak riuh-riuh.

"Kami mementingkan kredibiliti kerana kalau produk itu baik pasti orang akan terima dan masyarakat lebih suka jika penjual menjual sesuatu dengan lebih bersopan santun, berbudi bahasa daripada tak tentu arah.

"Nak viral senang, buat saja perangai tak senonoh sikit untuk viral... tapi itu bukan cara kami. Dalam bisnes, kami tak mahu harapkan viral semata-mata tetapi fikirkan macam mana nak kekalkan jenama sehingga dipercayai oleh semua orang," katanya.



Nama Bos Susu selaku penaja utama GV6 mula menjadi sebutan netizen apabila ada yang membandingkan cara pemasarannya dengan penaja GV sebelum ini iaitu Datuk Seri Aliff Syukri dan Datuk Seri Vida. Penonton berpendapat Azmi lebih mudah dikawal selain karakternya yang tenang berbanding penaja terdahulu.

Sementara itu, Azmi mengakui turut menerima tempias populariti dan semakin dikenali: "Sejujurnya, dulu orang tak kenal saya tapi sekarang dah berubah sampaikan minum di mamak, hentian rehat dan masuk toilet pun orang kenal. Alhamdulillah, boleh buat kawan dan bersahabat dengn ramai lagi orang terutamanya pelanggan".

Dalam pada itu, Azmi berkata dia turut menerima maklum balas positif penonton yang memuji inisiatifnya mewujudkan segmen 'Kongsi Rezeki' di GV6. Katanya, segmen itu merupakan salah satu bentuk sumbangan dan tanggungjawab sosial syarikat untuk membantu artis-artis veteran.

"Daripada respons penonton ramai yang sukakan segmen 'Kongsi Rezeki' di mana ia juga merupakan salah satu cara kita nak terapkan nilai murni sambil berhibur. Bagi saya itu lebih baik daripada kita hanya gelak ketawa sahaja... sekurang-kurangnya ada mesej baik untuk penonton," ujarnya yang tidak keberatan untuk menaja program yang sama pada tahun depan.










www.myartis.com / Sumber: Astro Gempak & mStar


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: