15 December 2019

"DIA TIDAK ADA SEBARANG PENYAKIT... TUNGGU KEPUTUSAN BEDAH SIASAT" - NORA


Mengenai pemergian anak keduanya, Muhammad Syakir Alif Johan, 20, pagi semalam, penyanyi Nora Ariffin berkata, walaupun kematian Alif sama seperti Allahyarham suaminya Johan Nawawi, dia tidak terfikir anaknya mengalami masalah jantung.





"Dia tidak ada sebarang penyakit dan tidak pernah menunjukkan sebarang tanda-tanda ada penyakit. Ketika menghantar saya ke lapangan terbang awal pagi tadi (semalam) untuk ke Singapura, dia baik-baik saja. Saya memang terkejut apabila pembantu rumah menghubungi dan beritahu badannya sudah tidak bergerak selepas rebah.

"Saya masih menunggu keputusan daripada doktor mengenai punca sebenar dan bedah siasat akan dilakukan untuk mendapatkan jawapan. Disebabkan doktor terbabit tidak ada hari ini, bedah siasat akan dilakukan esok pagi (hari ini). Selepas itu jenazah akan dibawa ke Masjid Ar-Rahman, Kampung Tunku, Petaling Jaya dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, tempat yang sama dengan kubur arwah bapanya," katanya.

Klik untuk gambar besar


Bercerita mengenai sikap Alif, Nora berkata, anaknya tidak menunjukkan sebarang tanda atau perangai pelik sebelum ini. Malah semalam dia sempat menyanyi bersama adik-adiknya di dalam bilik. Katanya, Alif ibarat pengganti arwah bapanya apatah lagi sejak anak sulung, Muhammad Syakir Iman berkahwin dan pindah rumah, Alif banyak membantunya menguruskan rumah dan dua adiknya yang masih tinggal dengan Nora.

"Dia masih belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dan tinggal di asrama tetapi sering pulang ke rumah membantu saya. Kadang-kadang dia masak untuk kami semua. Apabila dia tidak dapat pulang saya akan hubunginya bertanya khabar dan tidak sangka kali ini dia tidak pulang selamanya. Dia sering beritahu habis belajar ingin cari kerja untuk bantu saya serta mahu menyambung pelajaran dalam Ijazah Sarjana Muda dan meneruskan minat arwah bapanya dalam bidang muzik," katanya.

Alif meninggal dunia pagi tadi di rumahnya di Petaling Jaya selepas rebah. Pembantu rumah kemudian meminta bantuan jiran dan menghubungi abang sulung Alif sebelum ambulans membawanya ke Pusat Perubatan Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Alif yang begitu meminati bidang seni sebelum ini pernah menyertai program realiti Mentor Milenia 2019 namun tidak berjaya ke peringkat akhir.



Sementara itu, menerusi laman Instagram, Nora memberitahu dia sudah mengampunkan anak keduanya itu yang tidak pernah meninggi suara kepadanya selama 20 tahun. Selain itu, Nora turut memaklumkan jenazah anak keduanya itu disembahyangkan di Masjid Kampung Tunku sekitar 3 petang dan akan dikebumikan kubur Bukit Kiara, berhampiran dengan arwah bapanya, Johan Nawawi.

"Saya ampunkan segala dosa anak saya. Selama 20 tahun, tidak pernah meninggi suara kpd saya. Tiap2 hari dia akn bertanya kabar saya. Anak yg selalu ingin lihat saya bahagia. Alif pergi jumpa papa ye?? Rehatlah disana. Semoga Allah tempatkan Alif bersama org2 beriman. Al- fatihah

"Jenazah akn disembahyangkan di masjid kg tunku around 3pm. Akan dikebumikan kubur bukit kiara, berhampiran dgn papanya.... arwah Johan Nawawi. In Shaa Allah mlm ni Lepas isyak tahlil di Masjid Kg tunku #salamterakhir. Al- fatihah," tulisnya.




www.myartis.com / Sumber: Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: