15 December 2019

PUTUS TUNANG BULAN LALU - HAFREEZ ADAM & ZARA ZYA NAFI 'ORANG KETIGA'


"Jumaat lalu, kami berbincang menerusi aplikasi WhatsApp dan sepakat untuk meleraikan persoalan mengenai hubungan kami, hari ini. Masing-masing tidak mahu berterusan mengundang apa sahaja rasa yang kurang enak, sejak kebelakangan ini. Kami putus pun dengan cara yang baik. Saya dan Zara tidak bergaduh.





"Cukup saya katakan, tiada lagi persefahaman dalam hubungan yang sekian lama terjalin ini. Tiada jodoh antara kami," demikian kata pelakon Hafreez Adam, 29, yang mengesahkan ikatan pertunangannya dengan pelakon Zara Zya sudah terlerai, bulan lalu.

Akur dengan suratan tertulis, Hafreez bagaimanapun menjelaskan, mereka berpisah secara baik. Kata bintang drama 'Raisha 2' itu, dia dan Zara sepakat untuk meleraikan segala spekulasi berkaitan hubungan mereka yang dikatakan retak, sejak beberapa hari lalu.

Sebelum ini, pelbagai spekulasi muncul apabila Hafreez dikatakan tidak lagi mengikuti Zara di laman Instagram, selain memadamkan gambar mereka berdua. Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH Ke-29 itu turut menjelaskan, buat waktu ini dia lebih selesa memberikan ruang untuk diri masing-masing, sekali gus mengelak daripada bertembung atau digandingkan dalam mana-mana drama.

Klik untuk gambar besar


"Buat seketika dan waktu terdekat ini, saya cuba mengelak untuk bertemunya. Saya juga tidak mahu detik sebegitu membuatkan kami berdepan sebarang tekanan daripada pihak luar. Saya percaya, masing-masing memerlukan ruang untuk melawan apa sahaja perasaan yang bertamu. Kita tak tahu, selepas berita ini didedahkan, kecaman dan tekanan mungkin bertandang tanpa diduga," jelasnya.

Sebagai lelaki yang pernah bertakhta di hati Zara, Hafreez mendoakan yang terbaik buat bekas tunangnya itu: "Siapa sahaja jodohnya selepas ini, saya akan mendoakan yang terbaik dari kejauhan. Saya turut mengharapkan pengertian peminat kami, untuk sama-sama mendoakan yang baik-baik. Kalau boleh, usahlah bertelagah atau membuat apa-apa pertikaian selepas kami tidak lagi bersama. Teruslah menyokong diri dan kerjaya seni kami".

Terdahulu, ketika diminta mengulas mengenai kehambaran hubungan mereka, Zara atau nama penuhnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 34, menjelaskan ia bukan disebabkan kehadiran orang ketiga: "Sama seperti pasangan lain, kami juga berdepan dugaan ketika menempuh alam pertunangan," ujar Zara.



Dalam pada itu, ketika diminta mengulas pertunangannya dengan Hafreez putus, bulan lalu, Zara memilih untuk reda dan tabah. Akui Zara, jika diikutkan, sehingga hari ini, dia masih menerima ucapan tahniah atas pertunangannya dengan Hafreez.

"Menjadi kuat dan reda adalah pilihan saya untuk terus melalui kehidupan dan menerima suratan tertulis. Pada mulanya, saya sangka ucapan tahniah itu kerana saya menang pada Anugerah Skrin (ASK) 2019, baru baru ini. Tapi sebenarnya kerana pertunangan saya dengan Hafreez.

"Namun, jodoh saya dengan dia tidak panjang. Kami berpisah cara baik. Kami berfikir dan menyelesaikan semua ini dengan matang. Perlahan-lahan saya harus menerima hakikat jodoh kami sudah tiada," tuturnya.



Mendedahkan perpisahan mereka bukan atas faktor 'orang ketiga'', Zara mengaku soal kekangan masa dan kesibukan mencari rezeki antara punca hubungan dengan Hafreez makin menjauh: "Memang kebelakangan ini, kami jarang berjumpa. Saya sibuk dengan komitmen lakonan. Dia pula sedang mengukuhkan perniagaan yang semakin berkembang.

"Saya tak tipu adalah gaduh-gaduh 'manja'. Perhatian yang diberi dengan bermacam kisah itu dan ini yang dihidu atas nama kami selebriti, kadang-kadang membuatkan kami tertekan. Namun, punca 'orang ketiga' sama sekali tidak betul," katanya.

Tambah pelakon yang mula dikenali dalam drama 'Love You Mr Arrogant' ini, Hafreez adalah jejaka yang sangat baik: "Dia sangat budiman. Keluarganya pun melayan saya dengan baik. Cuma akhirnya, hati itu rasa makin menjauh," katanya yang memenangi trofi Pelakon Wanita Terbaik Drama Rantaian pada ASK 2019.

Pasangan yang berkenalan ketika bergandingan dalam drama 'Monalisa' pada 2017 itu mengikat tali pertunangan pada 12 Oktober lalu. Mereka merancang mendirikan rumah tangga pada Oktober tahun depan.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: