26 December 2019

PERKAHWINAN - PENERBIT DRAMA HARAP MIRA FILZAH TERGESA-GESA


Berhubung perkahwinan, penerbit drama, Fadzil Teh, berharap pelakon Mira Filzah, tidak membuat keputusan untuk berkahwin awal ketika namanya sedang mekar di arena seni. Kata pemilik rumah produksi Zeel Production berkenaan, pelakon drama Adellea Sofea siaran TV3 itu mempunyai potensi untuk terus kekal relevan di persada hiburan.





"Kalau boleh, saya berharap Mira tidak tergesa-gesa untuk mendirikan rumah tangga ketika nama sedang meniti di bibir peminat. Dia sebaliknya boleh terus mencipta pengaruh yang lebih besar. Baru-baru ini, saya ada terbaca cerita dia kini mengenali hati budi seseorang.

"Harapnya, tidaklah dia sampai membuat keputusan berkahwin dalam masa terdekat. Bagaimanapun, soal jodoh tetap rahsia Tuhan. Kita hanya mampu merancang, Tuhan yang menentukannya. Saya cuma berpendapat, dia boleh terus mencipta nama di pentas seni untuk tempoh beberapa tahun lagi," kata Fadzil.

Klik untuk gambar besar


Produser terbabit turut memuji pekerti pengacara 'Nona' itu yang dianggapnya sebagai artis 'tak sombong', selain berpesan agar Mira sentiasa kekal dengan sikap merendah diri saat nama mendaki tangga populariti.

Katanya lagi, Mira, 26, antara artis yang senang memberikan kerjasama, malah tidak lokek untuk mempromosikan naskhah lakonannya di laman sosial: "Pendek kata, dia artis yang tidak berkira sangat dalam bab mempromosikan drama lakonan sendiri di laman sosial. Bahkan, dia sendiri yang selalu meminta bahan hebahan daripada penerbit untuk dikongsi bersama pengikutnya,

"Dia berbeza dengan sesetengah artis yang sangat berkira, malah enggan membuat promosi drama lakonan sendiri di Instagram. Sikap mereka memang membuatkan saya geram. Kalau tiada lagi tawaran lakonan diterima golongan pelakon seperti itu, selepas ini, jangan salahkan penerbit atau stesen televisyen. Kena cermin balik diri sendiri," tuturnya.


www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram Mira Filzah


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: