22 January 2020

AR BADUL TAK IMPI 'DATUK': "BERILAH YANG BENAR-BENAR LAYAK..."


"Saya tak pernah berangan nak dapat Datuk. Berilah kepada veteran tentera yang benar-benar layak serta anggota bomba dan polis yang menjaga keselamatan negara. Ini baru dikatakan tugas untuk negara. Pelakon dan penyanyi adalah penghibur saja.





"Kita hiburkan orang dapat bayaran, bukan percuma," kata pelakon, pengarah dan pelawak veteran, AR Badul, 70, yang tidak pernah menyimpan impian untuk dikurniakan pangkat Datuk.

Badul yang pernah membintangi filem bercorak ketenteraan seperti 'Darah Satria' dan 'Prebet Lapok' pada tahun 1980-an berkata, dia tidak layak membawa pangkat itu. Badul berkata, dia ada mendengar orang mempertikaikan kenapa dia tidak diberikan Datuk kerana sudah banyak berjasa kepada industri perfileman tempatan.

"Selagi saya naik kereta Proton Saga atau menunggang motosikal ke pasar membeli ikan, janganlah bagi Datuk kepada saya. Saya ada ramai kawan bergelar Datuk dan mereka layak bawa pangkat itu kerana ada perniagaan bernilai jutaan Ringgit. Kehidupan mereka amat berbeza dibandingkan dengan saya," ujarnya.

Klik untuk gambar besar


Pelakon bernama sebenar Armaya Aman Ramlie ini berkata, dia tidak sepatutnya ditanya mengenai perkara itu, tetapi sebaliknya meminta masyarakat menilai bagaimana artis lain boleh dianugerahkan pangkat itu.

"Tak layak yang saya maksudkan ialah dalam pelbagai faktor. Mungkin, saya tiada hubungan dengan pihak yang bertanggungjawab beri pangkat itu. Mungkin juga saya bukan di depan mata mereka atau bukan rakan mereka. Kalau nak diikutkan, ramai pelakon kita berlakon filem genre patriotik, tapi mereka yang tak berkaitan pula tiba-tiba dapat pangkat itu," tuturnya.

Menurut Badul, dia tidak cemburu tetapi berharap ia diberikan kepada mereka yang benar-benar layak. Dalam masa sama, Badul turut mempersoalkan adakah penggiat seni yang bergelar Datuk sanggup melaksanakan aktiviti khidmat sosial secara percuma.

"Kalau kerajaan panggil mereka untuk program amal, adakah mereka tak kenakan bayaran? Atau kerajaan minta mereka menjayakan sesuatu kempen secara percuma, nak tak mereka pergi?" katanya.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: