08 January 2020

JANNA NICK MINTA MAAF ISU JANDA: "JANJI AKAN LEBIH PEKA & SENSITIF..."


Pelakon dan pengacara, Janna Nick akur dengan teguran warganet yang mengecam dirinya selepas menggunakan perkataan 'janda' dan berkata, insiden yang berlaku pada Ahad lalu itu menjadikan dia lebih berhati-hati supaya tidak mengulangi kesilapan sama pada masa akan datang.





"Silap saya kerana tidak peka dalam pemilihan perkataan, namun saya sudah meminta maaf kepada Elly Mazlein sebaik program Melodi selesai. Saya juga ingin memohon maaf kepada penonton yang mungkin kurang senang atas apa yang berlaku. Saya akan lebih berhati-hati apabila bercakap dan berusaha memperbaiki lagi corak pengacaraan.

"Saya terima segala teguran dengan hati yang terbuka. Saya juga berjanji akan lebih peka dan sensitif dalam pemilihan perkataan supaya tidak lagi menyinggung perasaan sesiapa. Pada tanggapan saya, perkataan 'janda' sesuai digunakan, namun saya silap kerana ia sebenarnya tidak manis, apatah lagi untuk program yang disiarkan secara langsung," katanya.

Janna ketika mengendalikan Melodi, Ahad lalu mencetuskan perasaan kurang senang penonton apabila menggunakan perkataan 'janda' ketika Elly mengumumkan bakal berkahwin, tidak lama lagi. Pelakon yang popular menerusi drama 'Syurga Nur' itu tanpa sengaja bergurau mengeluarkan kenyataan "Bila tengok Ezlynn ni, kita teringat Kak Lina Pom Pom (Elly) yang nak menamatkan zaman jandanya" menyebabkan ramai mempertikai.

Klik untuk gambar besar


Akibat keterlanjurannya itu, Janna dikecam warganet yang menyifatkan dirinya sebagai tidak sensitif, bermulut jahat dan tidak menghormati Elly yang hadir sebagai tetamu undangan bersama-sama Rashidi Ishak, Riena Diana dan Kamarul Eqifshah bagi mempromosikan drama bersiri, 'Kampung People'.

Justeru, apabila Elly membantu Janna yang tersungkur ketika mengendalikan program itu, warganet turut menganggap ia sebagai balasan di atas kelancangan mulutnya. Janna berkata, dia tidak menyangka cubaan untuk menjadikan program itu lebih panas, bersesuaian konsep baharu Melodi sempena 2020 mengheret dirinya dalam kecaman.

"Cubaan untuk episod pertama nampaknya tidak digemari, sekali gus menjadi peringatan buat saya supaya lebih berhati-hati. Saya berterima kasih kepada warganet kerana prihatin, malah menganggap teguran mereka sebagai peringatan supaya saya tidak terus leka. Tanpa teguran mereka, mungkin saya akan membuat kesilapan yang lebih besar.

"Saya sudah memohon maaf kepada Elly. Malah, setiap kali program berakhir, saya pasti bertemu artis jemputan untuk memohon maaf sekiranya gurauan saya mungkin tidak disenangi. Setakat ini, semua artis faham dan menerima dengan hati terbuka," tuturnya yang mengendalikan program itu bersama Awal Ashaari.




www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram Janna Nick


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: