17 January 2020

NORA CEDERA KAKI KIRI KETIKA ZIARAH GUA HIRA


"Setiap kali menunaikan umrah, saya memang menyimpan hasrat untuk mengunjungi gua berkenaan. Namun, hanya pada kunjungan kali ini baru impian itu tercapai. Saya naik ke puncak Jabal Nur sekitar jam 1 pagi kerana hanya waktu itu ia tidak ramai orang mengunjunginya.





"Ketika itu, keadaan sangat gelap dan berangin. Memandangkan kami perlu mengejar waktu Subuh, ketika menuruni bukit berkenaan, saya sedikit tergesa-gesa sehingga tergelincir dan terjatuh. Akibatnya, kaki kiri saya tercedera dan terpaksa menggunakan kerusi roda atau tongkat untuk bergerak.

"Doktor nasihatkan supaya saya berehat dan tidak memakai kasut tumit tinggi selama dua minggu," demikian kata penyanyi Nora Ariffin yang mengalami kecederaan di kaki kirinya ketika mengerjakan umrah di Makkah, baru-baru ini.

Klik untuk gambar besar


Menurutnya, insiden berlaku apabila dia terjatuh ketika menuruni puncak Jabal Nur, selepas menziarahi gua paling bersejarah buat umat Islam, Gua Hira. Walaupun terpaksa pulang ke tanah air dengan berkerusi roda, Nora atau nama lengkapnya Wan Norafizah Ariffin, 46, berpuas hati kerana impian mengunjungi tempat Nabi Muhammad menerima wahyu pertama menjadi kenyataan.

Mengimbau kembali saat mendaki Jabal Nur, Nora mengakui hampir berputus asa: "Untuk sampai ke puncak sahaja, ia mengambil masa selama dua jam. Berikutan tidak membuat sebarang persediaan, hampir sahaja saya mahu menghentikan pendakian disebabkan tidak larat.

"Namun, dorongan diberikan teman yang mengikuti rombongan membuatkan saya bersemangat untuk kembali menyambung pendakian," kata penyanyi yang popular dengan lagu 'Di Persimpangan Dilema' ini yang kembali ke tanah air, Ahad lalu.










www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram Nora Ariffin


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: