25 February 2020

ALI IZIN ALIFF SYUKRI JUMPA IBU MOHON MAAF TANPA RAKAMAN


"Seperti dinyatakan pada sidang media, Jumaat lalu, saya tak mahu isu ini berlarutan. Cuma, jika beliau (Aliff) mahu berjumpa dan memohon maaf, boleh bertemu dengan ibu dan keluarga saya. Ibu saya tak pandai guna telefon pintar atau media sosial termasuk video yang dimuatnaik. Tetapi satu sahaja syarat, saya minta beliau tidak membuat rakaman video pada pertemuan itu," kata pelawak Ali Puteh.





Ali yang menerima permohonan maaf Datuk Seri Aliff Syukri, bagaimanapun tetap berpegang dengan pendiriannya iaitu enggan memanjangkan kontroversi berhubung dakwaan membolot harta peninggalan abang, Allahyarham Abam Bocey dan mahu usahawan kosmetik itu datang bertemu ibunya secara privasi.

Dalam pada itu, Ali memberitahu, Aliff boleh bertemu ibu dan keluarganya untuk menyatakan hasrat memohon maaf tetapi tidak membenarkan penyanyi lagu 'Abag Nak Tegur' itu meneruskan niatnya untuk membuat siaran langsung (live) di laman sosialnya atau merakam pertemuan tersebut. Menurut Ali, pertemuan itu tidak boleh dijadikan tatapan umum memandangkan ia melibatkan maruah keluarganya.

Pemilik nama Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan, 31, ini mengulas pengakuan terbaru Aliff yang mahu memohon maaf atas kontroversi membabitkan balu arwah Abam, Siti Nurhidayah Mohd Ali. Pada sidang media kira-kira jam 3 petang semalam, Aliff dilaporkan sedia bertemu ahli keluarga Abam untuk menyelesaikan semua isu berbangkit gara-gara perkongsian video live di Facebook (FB), baru-baru ini.

"Antara saya dengan dia tiada urusan lagi. Seperti yang saya katakan, dia perlu bertemu dan memohon maaf kepada ibu saya tanpa ada kamera. Saya tidak akan membenarkan sekiranya dia ingin merakam atau membuat live. Sebab ini soal maruah keluarga, minta hormat hal keluarga bukan untuk tatapan umum. Cukuplah kami sekeluarga dihina dan dicaci," jelas Ali.

Dalam pada itu, anggota kumpulan Puteh ini menegaskan dia akan memastikan tiada sebarang rakaman atau kamera pada pertemuan Aliff dan ibunya: "Jika ada kamera atau sebarang rakaman, saya akan hentikan semua itu," tegasnya.

Ali berkata, dia tidak mahu lagi mengungkit kisah lama: "Kalau ikut rasa amarah kita sebagai manusia biasa, memang akan terus dengan gejolak begitu. Tetapi kita berbalik kepada cerita dan sejarah dulu. Nabi Muhammad SAW diuji dengan dugaan lebih besar berbanding kita. Jadi, saya tiada dendam kesumat dalam hati... Saya anggap masalah ini akan tamat," ujarnya.

Aliff tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Ali dan balu Abam menerusi sidang media yang diadakan pada Isnin. Malah, dia juga bersedia bertemu Ali dan keluarga bagi menyelesaikan isu tersebut namun tetap mahu mengadakan siaran langsung di laman sosial semasa pertemuan mereka itu nanti. Aliff mendakwa tidak berniat melaga-lagakan mana-mana pihak dan sedia berjumpa ibu Ali seperti diminta.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian & mStar


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: