08 February 2020
"ANDAI TIDAK BERTEMU JODOH HINGGA NAFAS TERAKHIR, SAYA REDHA" - NASHA AZIZ
"Allahuakbar... Saya serahkan pada kuasa Allah, jika ada yang melamar ketika ini. Sebaik-baiknya perancangan adalah Allah. Kepada-Nya juga saya serahkan jodoh dan pertemuan yang bersesuaian. Sejujurnya, saya tidak pernah menutup pintu hati buat lelaki selama ini, cuma tiada jodoh serasi.
"Saya tidak mampu soal meramalkannya. Andai tidak bertemu jodoh hingga nafas terakhir, saya redha dengan ketentuan takdir yang tertulis," demikianlah tutur pelakon Nasha Aziz yang tidak pernah menutup pintu hati buat lelaki selama ini.
Jika ditakdirkan bertemu jodoh pada usia 49 tahun, bintang filem 'Laila Isabella' dan 'Trauma' itu hanya menyerah pada Yang Maha Esa. Sesuai atau tidak, Allah lebih mengetahui. Nasha atau nama sebenarnya, Noraishah Abdul Aziz berkata, dia percaya ada hikmah tersembunyi di sebalik persoalan jodohnya hingga hari ini.
"Allah mahu memberikan sesuatu yang lebih istimewa apabila saya menjaga ibu kandung dan ibu angkat yang kini hidup sendirian. Nikmat ini lebih besar daripada segala-galanya. Saya tidak sesekali melepaskan tanggungjawab sebagai anak, apatah lagi saya satu-satunya anak yang belum mendirikan rumah tangga.
Klik untuk gambar besar
"Saya tidak pernah menganggap bebanan, sebaliknya saya bersyukur diberikan peluang berbakti dan menjaga kedua-dua ibu hingga akhir hayat. Ada anak-anak yang terlepas nikmat menjaga ibu bapa mereka," ujarnya yang sibuk di lokasi penggambaran filem Talbis Iblis arahan Kabir Bhatia.
Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia Ke-17 itu berkata, dia percaya tidak mampu memberikan perhatian terhadap kedua-dua ibunya yang uzur, sensitif dan perlu diberikan perhatian jika berkahwin.
"Jadi, nampak tak apa yang Allah mahu anugerah pada saya. Jika bersuami, sudah tentu saya harus meninggalkan kedua-dua ibu saya. Saya sendiri pun sudah berusia, apatah lagi mereka, tentu lebih berumur dan keadaan uzur. Fitrah manusia, apabila berusia anak-anak harus memberikan lebih perhatian. Biarlah Allah tentukan jiwa saya untuk siapa," katanya.
www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram Nasha Aziz
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment