16 February 2020

HUBUNGAN BERTAMBAH BAIK - SITI FAZURINA NAFI TIADA ZURIAT PUNCA FAIL CERAI


Pelakon yang pernah popular menerusi drama 'Dunia Anita', Siti Fazurina memberitahu keinginan memiliki zuriat tidak pernah padam dalam dirinya. Hatinya cukup tersentuh dengan kata-kata pelakon, pengacara dan penyampai radio, Siti Elizad yang mendoakannya menimang cahaya mata, biarpun seorang.





Siti Fazurina atau lebih mesra disapa Nina sudah lebih tujuh tahun mendirikan rumah tangga bersama Muhammad Hykal Zulkifli tetapi belum dikurniakan cahaya mata: "Saya sudah cukup bersyukur jika menimang seorang cahaya mata. Bagaimanapun, segala ketentuan datang dari-Nya.

"Saya percaya sampai masa Allah akan mengurniakan seseorang zuriat. Contohnya, mungkin sukar buat saya jika mengandung sekarang kerana terikat dengan banyak penggambaran drama. Saya keguguran kira-kira tiga tahun lalu. Ia kerana terlalu aktif bekerja dan saya tidak sedar hamil tujuh minggu," katanya.

Akuinya, dia tidak terlalu memikirkan soal zuriat, suaminya turut memahami: "Kedua-dua belah keluarga tidak pernah memberikan saya tekanan. Saya pernah cakap, mungkin saya akan memfailkan perceraian sekali lagi jika saya terdengar kata-kata umpatan daripada keluarga. Saya akui cepat beremosi dan tersentuh, tetapi alhamdulillah, keluarga memahami.

Klik untuk gambar besar


"Di awal dahulu, bohonglah jika saya cakap tiada tekanan. Saya berkahwin tentunya saya mengharapkan kehadiran cahaya mata. Bagaimanapun, saya dan suami tidak terlalu memikirkannya apabila sudah masuk tahun ke-tujuh," tuturnya.

Nina berkata, dia sudah melakukan pemeriksaan doktor, nyata tiada masalah besar, cuma membabitkan hormon: "Saya tak perlu melalui pembedahan, cuma mengambil ubat hormon sahaja," jelasnya.

Bagaimanapun, Nina menegaskan, tiada zuriat bukan punca dia memfailkan perceraian sebelum ini: "Hubungan saya dan suami sudah bertambah baik. Isu rumah tangga tidak perlulah dihebohkan pada khalayak. Orang luar tak akan faham.



"Bagi saya, kami mempunyai kesalahan masing-masing, jadi apa kata kita beri peluang. Saya lebih emosional, jadi apabila sudah tergigit lidah barulah nampak kesalahan. Alhamdulillah, kami sama-sama membaikinya. Sekarang, semuanya baik tetapi saya tidak mampu merencanakan pada masa akan datang," ujarnya.

Sebelum ini, Nina memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya pada Julai tahun lalu. Pada 11 September tahun lalu, Siti Fazurina menarik balik permohonan cerai kali ketiga dibuatnya terhadap Muhammad Hykal Mahkamah di Rendah Syariah Wilayah Persekutuan.

Nina menarik balik permohonan cerai ekoran mahu diberi peluang kedua untuk cuba memperbaiki hubungan dengan suami: "Banyak hikmah di sebalik ujian yang menimpa rumah tangga. Kami banyak memperbaiki kesalahan dan kesilapan yang tidak disedari.

"Sepatutnya saya tidak hanya melihat kesalahan suami, saya pun tengok kesalahan sendiri. Kami pula sering bekerjasama sekali, jadi bergaduh pasal kerja menjadi perkara biasa. Tetapi, apabila difikirkan semula kenapa mahu memperbesarkan isu remeh-temeh," katanya.

Dalam perkembangan lain, Nina kini tampil menerusi drama bersiri pertama terbitan TV AlHijrah berjudul 'Boss... Mama Kirim Salam' dan digandingkan dengan Qazem Nor. Ia adalah drama berkonsepkan gaya hidup yang mengisahkan dunia penyiaran Islam.




www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian, Harian Metro & Instagram Siti Fazurina


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: