23 February 2020

KEK GANTUNG ZAHIRAH & AIMAN CURI TUMPUAN: "IDEA TIGA TAHUN LALU..."


Perkahwinan pasangan Zahirah Macwilson dan Aiman Hakim Ridza telah berlangsung dengan meriah sekali baru-baru ini. Apa yang mencuri tumpuan ramai adalah kek gantung yang berbentuk lampu chandelier pasangan yang pernah digandingkan bersama dalam drama 'Curi-Curi Cinta' itu.





Pada upacara memotong kek, kedua-dua mempelai nampak terkejut apabila kek perkahwinan diturunkan dan bentuknya dalam keadaan terbalik. Dihasilkan pereka kek, Lily & Lola Cakes yang sering menghasilkan kek untuk majlis perkahwinan selebriti dan idea kek gantung atau chandelier cake ini mengambil masa selama tiga tahun.

Setelah tiga tahun, akhirnya pemilik Lily & Lola Cakes merealisasikan idea itu semasa majlis resepsi pasangan Zahirah dan Aiman. Menurut pemiliknya, Lily Osman, 28, proses pembuatan kek tersebut tidaklah terlalu sukar namun apa yang mencabar ialah proses untuk menggantung kek setinggi lapan tingkat itu.

"Idea nak buat kek gantung ini sudah difikirkan sejak tiga tahun lalu cuma kami mencari majlis yang sesuai. Rezeki saya dan Zahirah apabila kebetulan semuanya konsep ini kena dengan majlis mereka, jadi kita realisasikan idea itu.

Klik untuk gambar besar


"Kek itu dihasilkan dalam masa seminggu tapi nak menggantung yang agak sukar dan mengambil masa lebih sejam. Ia perlu dipastikan benar-benar kukuh supaya tak jatuh kerana graviti dan memerlukan beberapa orang untuk menggantungnya.

"Macam mana teknik kita buat supaya kek itu kukuh dan tidak jatuh? Itu ada caranya! Apa pun mujurlah pihak perancang perkahwinan, Mahligai Creative banyak membantu dan memudahkan proses persiapan di dewan tersebut," katanya kepada mStar.

Sebelum itu, menerusi laman Twitter, tular beberapa keping foto dan video kek perkahwinan pasangan pelakon tersebut. Ia menarik perhatian netizen apabila kek tersebut yang disangkakan lampu candelier turun dari atas semasa upacara memotong kek.

Menerusi status yang dimuatnaik, Lily & Lola Cakes berkata, pengantin perempuan langsung tidak menyedari kewujudan kek unik itu sebelum sesi memotong kek berlangsung: "Pengantin perempuan tak sedar akan kewujudan kek itu yang tergantung di bahagian siling sepanjang majlis berlangsung. Ia umpama satu magis apabila diturunkan untuk sesi memotong kek," tulisnya.



Kek unik berperisa vanila itu dihasilkan tujuh tingkat secara menurun dari bahagian terbesar berada di tingkat paling atas, manakala bahagian paling kecil di bahagian bawah. Secara tak langsung, ia menampakkan kek itu disusun secara terbalik dan kelihatan seperti lampu chandelier gergasi yang mewah.

Ditanya mengenai harga, Lily berkata setiap kek memiliki harga berbeza mengikut kepada bajet dan permintaan pelanggan. Bagaimanapun, dia tidak menolak rekaan kek sedemikian boleh mencecah harga puluhan ribu ringgit.

"Kek perkahwinan Zahirah itu tak boleh nak dedahkan harga kerana perjanjian dengan pelanggan kami. Sebenarnya, harga untuk setiap kek berbeza dan ia tertakluk kepada saiz, rekaan dan material yang akan digunakan. Untuk kek yang lebih kurang macam itu harga mungkin boleh mencecah puluhan ribu... tapi semuanya mengikut kepada bajet dan permintaan pelanggan.

"Apabila kek ini viral secara tidak langsung dapat membuka mata orang ramai mengenai bakat orang Malaysia... kalau nak tahu pembuat kek di Malaysia pun boleh hasilkan kek dengan rekaan yang unik dan mencabar," ujarnya yang memulakan perniagaan Lily & Lola Cakes bersama adiknya, Alya Osman sejak beberapa tahun lalu.

Pada Khamis (20 Februari 2020) lalu, pasangan pelakon tersebut selamat disatukan sebagai suami isteri dengan hanya sekali lafaz dan majlis resepsi telah diadakan pada Jumaat (21 Februari 2020).








www.myartis.com / Sumber & foto: mStar, Harian Metro, Instagram Lily & Lola Cakes / Zahirah Macwilson


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: