11 February 2020

MOHON MAAF - DRAMA BAND PERTAHANKAN AKSI DI AJL34 SEKADAR PARODI


"Saya mewakili Drama Band memohon maaf atas keterlanjuran kami dalam persembahan malam tadi. Jika ada yang meneka watak dibawa ke pentas ditujukan kepada mana-mana individu, kami tidak mampu menghalang. Bagaimanapun, selepas ini, kami akan lebih berhati-hati dalam persembahan dan tidak mengetengahkan lagi isu sensitif," demikian ujar vokalis kumpulan Drama Band, Aepul Roza.





Aepul mempertahankan persembahan pada Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-34, malam tadi, sebagai kritikan sosial yang disampaikan dalam bentuk satira. Mendakwa tidak berniat mengecam atau menjadikan karakter mana-mana individu sebagai sindiran, Aepul bagaimanapun memohon maaf atas keterlanjuran mereka.

Ketika mempertaruhkan lagu 'Drama' ciptaan Aepul, Daus SRK, Faeez Ikhwan, Syed Syahmir dan Nik Adib, Drama Band yang diiringi penari, menonjolkan beberapa karakter yang dilihat seakan-akan menyindir selebriti, pendakwah bebas, ahli politik dan pemimpin. Berikutan itu, TV3 tidak menyiarkan klip video persembahan band itu di akaun YouTube, sejak malam tadi.

Aepul yang mendakwa terkejut diberitahu klip video mereka tidak disiarkan di YouTube, berharap kumpulan itu tidak dihalang membuat persembahan pada mana-mana acara selepas ini. Aepul mengulangi apa yang dipaparkan hanyalah parodi.

Klik untuk gambar besar


Ditanya adakah produksi AJL34 tahu perancangan mereka dalam persembahan malam tadi, Aepul berkata, mereka hanya memaklumkan sebahagian daripada plot yang mahu dipaparkan: "Kami tidak beritahu watak yang ditampilkan secara terperinci. Tetapi kami beritahu ada elemen kejutan dalam persembahan itu. Insya-Allah, selepas ini, kami belajar daripada kesilapan," katanya.

Aepul Roza menjelaskan dia dan ahli kumpulannya tidak mempunyai niat untuk menyinggung mana-mana pihak. Bagaimanapun, Aepul berkata mereka menyedari segelintir masyarakat yang tidak dapat menerima jalan cerita yang cuba disampaikan.

"Sejujurnya kami tidak ada niat pun nak menyinggung perasaan mana-mana pihak dengan persembahan konsep cynical parody itu. Tak sangka pula perkara ini menjadi isu. Mungkin ada segelintir orang tak dapat nak terima mesej yang kami cuba sampaikan.

"Apa-apa pun, kami minta maaf kepada semua pihak yang tersinggung dengan persembahan itu," tutur Aepul yang diminta mengulas mengenai persembahan kumpulannya menerusi lagu 'Drama' di pentas AJL34 yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Ahad.



Dalam pada itu, Aepul menjelaskan dia dan pasukannya ada memaklumkan kepada pihak produksi berkenaan konsep tersebut namun tidak menjelaskan secara terperinci mengenai karakter yang bakal ditampilkan.

"Kami sudah memaklumkan kepada pihak produksi berkenaan konsep itu tapi mungkin tidak sepenuhnya mengenai karakter yang bakal ditampilkan. Tapi tak apa, kami reda video persembahan malam itu disekat," jelasnya.

Terdahulu, gara-gara membuat persembahan berkonsepkan cynical parody dengan menggunakan pelbagai karakter yang didakwa menyerupai figura terkenal antaranya Haqiem, Haneesya Hanee, PU Abu dan Da'i Farhan, Drama Band menerima kecaman hebat netizen.

Kumpulan yang turut dianggotai Adib (gitar), Daus (bes) dan Faeez (dram) itu turut menampilkan watak seperti bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah. Pihak stesen TV3 memberitahu konsep yang dianggap gimik keterlaluan itu tidak dimaklumkan terlebih dahulu dan bakal ambil tindakan jika kumpulan tersebut didapati melanggar kod kandungan penyiaran yang ditetapkan.




www.myartis.com / Sumber: Berita Harian & mStar


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: