17 February 2020

SYUKUR PUNYAI SEPASANG - USIA PUNCA YUSRY TAK RANCANG TAMBAH ANAK


Tidak mempunyai sebarang perancangan khusus untuk menambah bilangan cahaya mata pada masa mendatang, penyanyi, pelakon dan pengarah Yusry Abdul Halim, 47, berkata, buat masa ini, dia bersyukur dengan kurniaan sepasang cahaya mata yang menjadi penyeri dan pelengkap dalam kehidupannya.





"Selalunya macam tu lah, dah dapat sepasang, bersyukur sangat. Tapi sebenarnya, saya tidak adalah merancang ke apa dan pada masa sama, saya tidak beria-beria nak mencuba (tambah anak). Kalau ada, ada lah. Nak cakap dah tak nak pun tak boleh juga sebab itu rezeki," tuturnya.

Tambah Yusry, antara faktor lain dia tidak merancang untuk menambah zuriat adalah kerana faktor usianya yang semakin meningkat: "Antara satu sebab adalah saya fikir faktor usia juga. Tahun ini saya dah masuk umur 47 tahun. Kalau sekarang ada anak lagi, ketika dia usia 20 tahun, saya dah 67 tahun pada masa itu.

"Saya fikir masa depan, siapa nak bayar yuran universiti dan sebagainya. Benda-benda macam itu bermain di fikiran saya. Lainlah kalau masa tu saya boleh bekerja. Dibuatnya entah-entah saya pun tiada dah," jelas Yusry yang mendirikan rumah tangga dengan Lisa Surihani, 34, pada 23 Februari 2013 dan dikurniakan sepasang cahaya mata, Yahaira Leanne, 5, dan Yusof Leonne, 3.

Klik untuk gambar besar


Ditanya mengenai pembabitannya dalam ICSYVMY3, Yusry yang bertindak sebagai panel tetap di samping Jihan Muse dan Mark Adam berkata, pada mulanya dia mengakui kekok apabila tidak memahami konsep permainan: "Saya yang sudah lama berada dalam industri seni ini pun selalu tertipu dengan suara penyamar dan suara sebenar.

"Malah untuk masuk satu kepala dengan Jihan dan Mark yang muda juga bukan perkara mudah tapi lama-kelamaan kami cuba cari keserasian. Alhamdulillah program ini adalah sesuatu yang menarik untuk dicuba. Memang seronok sepanjang sesi penggambaran. Harapnya peminat akan terhibur dengan gelagat kami nanti," ujarnya.

Menurut Yusry, untuk musim ini banyak elemen baharu diperkenalkan dan ada kalanya memberi kesukaran kepada dirinya: Saya dimaklumkan konsep permainan banyak diubah kerana mahu memberi kelainan. Begitu juga pemilihan saya untuk terbabit dalam program ini," katanya.








www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro, Instagram Yusry Abdul Halim & Lisa Surihani


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: