12 March 2020

4 BULAN 'BEREHAT' DARI SOSIAL - FAIZAL TAHIR RASA LEBIH TENANG, NIKMAT


'Berehat' empat bulan daripada menggunakan media sosial iaitu selepas pemergian gitaris, Allahyarham Aji atau Fauzi Samin, penyanyi, komposer dan penerbit, Faizal Tahir mengakui lebih tenang dan berkata, perkara itu juga membuatkan dirinya ingin mengambil keputusan berhenti daripada terus berkarya.





Keputusan Faizal 'berehat' selama empat bulan daripada laman sosial menghadiahkan semangat baharu dan minda lebih segar. Faizal atau nama sebenarnya, Ahmad Faizal Mohammad Tahir, 42, mengakui, beban angkara terlalu aktif dalam laman sosial hilang sepanjang tempoh rehatnya itu.

"Mungkin orang nampak saya banyak berdiam diri, tapi sebenarnya, saya berehat dari media sosial selama empat bulan. Waktu itu, saya baru saja selesai menyiapkan album Rojak dan sangat letih. Kebetulan, ketika itu, saya menerima berita pemergian, Allahyarham Abang Aji yang juga umpama tulang belakang untuk kerjaya seni saya. Saya pernah rasa sangat 'down' dan tak mahu teruskan lagi berkarya," ujarnya.

Bercerita mengenai tempoh empat bulan tanpa media sosial itu, Faizal berkata dirinya lebih tenang: "Perasaan saya dalam empat bulan itu lebih tenang. Rasanya, seperti kita sudah lama tak mandi dan tiba-tiba dapat mandi. Begitulah nikmat yang saya dapat rasa. Ia adalah satu pengalaman terbaik saya.

"Saya nasihatkan supaya orang ramai berhenti seketika daripada media sosial kerana ia sangat 'menyucikan' diri kita. Saya yakin, setiap orang akan terus melihat telefon bimbit setiap kali bangun dari tidur. Begitu juga dengan saya. Tapi, dalam empat bulan itu, saya bangun solat Subuh saja dan sekarang pun, selepas anak-anak ke sekolah, barulah saya pegang telefon.

Klik untuk gambar besar


"Sebelum ini, saya menghabiskan masa selama empat jam sehari mengadap laman sosial hingga berasakan ia seperti satu bebanan. Semuanya kena fikir, mana nak buat hantaran tatapan peminat, tanggungjawab terhadap pelanggan dan persaingan mendapatkan pengikut paling ramai supaya mudah mendapatkan penajaan.

"Empat bulan tak aktif, perasaan saya sangat menyegarkan seperti orang yang baru lepas mandi. Malah, saya berasakan diri seperti lepas disucikan. Jadi, saya sarankan cubalah berehat seketika, kita akan merasai keseronokan," katanya.

Namun begitu, Faizal tidak menafikan bahawa media sosial dan telefon pintar adalah alat yang terpaksa digunakan: "Ada batas yang perlu kita letakkan. Kalau dulu, saya akan meluangkan masa di media sosial lebih kurang tiga ke empat jam sehari.

"Sekarang, saya sudah mula aktif semula dan mulakan dengan perkongsian mengenai aktiviti program kemanusiaan di Syria dan sebagainya. Seperti yang dikatakan, kalau nak berehat pun ada had juga sebab ada benda yang kita nak tahu dan beritahu kepada orang," tuturnya.


www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro, Berita Harian & Instagram Faizal Tahir


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: