03 March 2020

"BUKAN JENIS PANDAI JUAL DIRI..." - BOCIL (SAYWHO) BERULANG ALIK KE KAMPUNG


Sudah lama kita tidak dengar khabar dan melihat pelawak kerdil dari Indonesia, Bocil Bancin (Saywho), 37, di kaca televisyen (TV). Selama dua tahun tidak muncul di kaca TV bukan bermakna Bocil sudah tidak laku. Sebaliknya, pelawak yang pernah memikat hati penonton ketika menyertai program Maharaja Lawak Mega (MLM) pada 2011 itu masih bertahan.





Rezeki sebagai pelawak, pelakon dan penyanyi masih bersisa, biarpun jarang kelihatan di kaca TV: "Mungkin tiada rezeki... Saya bukannya jenis pandai menjual diri. Jika peniaga, kita harus pandai melelong, tetapi saya ada kekurangan di situ. Saya tak suka menjual diri.

"Bukan sombong, tetapi saya percaya, apapun biarlah datang dari hati yang ikhlas. Cari rezeki juga seperti itu, orang suka akan panggil saya lagi. Sekarang, mungkin saya tak popular seperti zaman bersama kumpulan Saywho, tetapi orang masih kenal. Undangan persembahan pentas masih banyak diterima, cuma jarang keluar televisyen. Saya hanya menunggu dan berdoa," jelasnya.

Mengulas sejauh mana mampu bertahan, sedangkan pelawak silih berganti, Bocil atau nama sebenarnya, Muhammad Abdi Zein Bancin berkata, inilah persoalan yang sering menerjah fikiran: "Saya tertanya mampukah saya hidup dengan mencari rezeki di Malaysia.

"Bagaimanapun, saya lupa, Allah SWT menetapkan rezeki untuk hamba di mana sahaja kita berada. Saya percaya, tak mungkin Allah menciptakan hambanya tanpa ada rezeki. Alhamdulillah, rezeki saya masih ada di Malaysia. Biarpun sedikit, tetapi mencukupi buat saya menanggung ibu di kampung halaman di Aceh, Indonesia," tuturnya.

Klik untuk gambar besar


Pelawak yang terlebih dahulu mencuba nasib sebagai penyanyi menerusi program realiti, Akademi Fantasi, Indonesia pada 2005 itu berkata, dia kini berulang alik ke Aceh kerana menjaga ibu, selepas pemergian arwah bapa pada 2015.

"Saya pulang ke kampung halaman selepas kali terakhir kumpulan Saywho menyertai MLM pada 2016. Saya tidak merasakan ini pilihan yang salah. Saya mahu berbakti pada ibu hingga akhir hayat. Itu harga yang lebih mahal daripada segala-galanya di dunia ini.

"Saya sering kenapa saya mengejar harta dunia hingga mengabaikan ibu yang tinggal seorang diri? Adakah saya senang hati melihat ibu sendirian setiap kali membuat panggilan video. Akhirnya, saya tekad pulang ke Aceh," ujarnya.

Kongsinya, awalnya, dia terpaksa menolak banyak persembahan kerana kebanyakan undangan diterima pada saat akhir: "Dalam tempoh setahun, Allah uji saya, tetapi tidak lama. Kini, sudah ramai mengetahui saya berulang alik dari Aceh, jadi mereka akan memberitahu seminggu lebih awal. Alhamdulillah, rezeki saya sentiasa mencukupi untuk menanggung ibu," katanya.




www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: