04 March 2020
DR ERIN DIDAKWA MENIPU - SUAMI HADIR MENJADI PENJAMIN
Hari ini di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur di sini, isteri seorang juara program Da'i, didakwa atas tuduhan menipu seorang wanita dalam urusan sijil halal menyebabkan kerugian lebih RM10,000. Tertuduh, Noorainul Naqim Mohd Radzi, 39, yang lebih dikenali sebagai 'Dr Erin', mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dikemukakan di hadapan Majistret Wong Chai Sia.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa mendorong Norsiha Aala untuk menyerahkan wang tunai RM10,050 bagi mendapatkan sijil halal dan pengiktirafan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk produk miliknya. Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di 9-2-1 Kelompok Nuri B, Taman Keramat, Wangsa Maju, pada 21 Disember 2017 hingga 26 Februari 2018.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) kerana menipu, sabit kesalahan boleh dihukum penjara antara setahun hingga 10 tahun dengan sebat serta denda. Susulan pengakuan tidak bersalah oleh tertuduh, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar, memohon mahkamah menawarkan jaminan RM10,000 kepada tertuduh.
Tertuduh yang diwakili peguam bela, Sheik Abdullah Abdul Malik, memohon mahkamah mengurangkan jaminan, memandangkan anak guamnya penanggung tunggal lapan anak, berusia lima hingga 19 tahun: "Suami tertuduh juga hadir di mahkamah hari ini bagi menjadi penjamin," katanya.
Klik untuk gambar besar
Majistret kemudian memerintahkan tertuduh dikenakan jaminan RM4,000 sebelum menetapkan 3 April ini untuk serahan dokumen. Suami tertuduh yang ditemui media di luar mahkamah, enggan mengulas lanjut. DR Erin didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini, atas tuduhan menipu seorang wanita dalam urusan sijil halal menyebabkan kerugian lebih RM10,000.
Semalam hangat diperkatakan seorang wanita berusia 40 tahun ditahan polis dipercayai telah menipu seorang pelanggan sehingga RM11,000 berkaitan urusan untuk mendapatkan sijil Halal dan juga sijil KKM bagi produk jamu.
Menerusi laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail mengesahkan berhubung penahanan wanita berkenaan yang juga isteri kepada juara program Da'i. Meskipun laporan akhbar berkenaan tidak menyebut nama wanita tersebut, namun rata-rata netizen membuat spekulasi mengaitkan kes berkenaan dengan isteri Da'i Farhan iaitu Dr Erin
Dalam pada itu, mStar difahamkan cuba menghubungi Da'i Farhan untuk mendapatkan penjelasan lanjut berhubung perkara itu. Bagaimanapun, panggilan telefon dimatikan selepas bertanyakan soalan mengenai penahanan itu.
www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian, Harian Metro & mStar
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment