18 March 2020

HOSPITAL SURUH BAWA PULANG KERANA COVID-19 - ISTERI JIBOB RISAU, MOHON BANTUAN


Selepas dua minggu menjalani pembedahan membuang darah beku di bahagian kepala di Hospital Kuala Lumpur (HKL), keadaan peserta program realiti, Raja Lawak musim kelima, Jibob difahamkan kini masih dalam keadaan separa sedar.





Mengulas perkembangan suami, Siti Aisyah Wahiddin, 38, berkata, suaminya boleh dibawa pulang ke rumah dalam beberapa hari lagi: "Sedih melihat suami terlantar, sejak dua minggu lalu. Dia suka buat lawak dan mengacau.

"Jadi, apabila jatuh sakit, saya sunyi selepas tidak lagi mendengar usikan. Bukan hanya saya, anak kami juga selalu bertanya mana bapanya. Mungkin suami boleh keluar hospital dalam minggu ini. HKL sebolehnya mahu melepaskan pesakit dan saya disuruh untuk membawanya pulang dengan penularan COVID-19 yang semakin meruncing.

"Bagaimanapun, saya masih mencari bantuan kelengkapan untuknya di rumah seperti tilam angin, kerusi roda, katil pesakit, mesin sedut kahak dan keperluan pesakit strok. Risau risiko yang saya perlu ditanggung, apatah lagi saya tidak mempunyai pengalaman menguruskan pesakit," tuturnya.

Dalam pada itu, Aisyah meluahkan kebimbangan mencari perbelanjaan untuk menampung perbelanjaan suami: "Saya ada memohon bantuan beberapa pihak, antaranya seperti pusat zakat. Tetapi, saya memerlukan laporan penuh pihak hospital untuk memohon bantuan. Paling cepat, saya boleh dapat dalam tempoh dua minggu.

Klik untuk gambar besar


"Mahu atau tidak, saya kena cari jalan lain, tetapi syukur ada yang menghulurkan sumbangan. Sumbangan inilah yang digunakan membeli susu. Kosnya mencecah RM50 sehari. Suami tidak boleh makan kerana lehernya ditebuk untuk bantuan pernafasan, jadi dia bergantung pada susu sahaja," ujarnya.

Aisyah berkata, pendapatannya hanya membuka kedai dobi tidak besar, apatah lagi, perlu menjaga suami pada ketika ini: "Saya terima apa sahaja jenis sumbangan, daripada wang hingga keperluan lain seperti kelengkapan hospital. Terima kasih atas bantuan yang diberikan," kata ibu kepada Nur Humairah itu.

Terdahulu, Jibob atau nama sebenarnya, Mohd Hamizi Hashim terjatuh dalam bilik air dalam rumahnya akibat angin ahmar sekitar jam 1 pagi pada 5 Mac lalu. Dia disahkan mengalami pendarahan dalam otak, kemudiannya dibawa ke Hospital Serdang dan dipindahkan ke HKL untuk pembedahan.

Dalam kerjayanya, Jibob pernah membintangi filem 'Halim Munan', 'Strawberi Cinta' dan 'Operasi X' serta pelbagai drama seperti 'Nasi Minyak Kuah Cinta' dan 'Bila Hati Berbisik'.






www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: