20 March 2020

LAGU KHAS BUAT ARWAH ABAM, 'KITA BAIK RAMAI SAYANG' TRENDING NO. 1 DI YOUTUBE


Pelawak kumpulan Bocey iaitu Achey dan Fad telah merakamkan single berjudul 'Kita Baik Ramai Sayang' melalui syarikat rakaman 17Eleven Music, bagi mengenang pemergian sahabat mereka, Allahyarham Abam. Lagu ciptaan Ippo Hafiz dan lirik bersama Achey dan Fad yang dilancarkan kelmarin itu menduduki tangga teratas carta trending di YouTube.





Fad berkata, lagu itu menggambarkan perasaan dirinya dan Achey terhadap arwah: "Idea menghasilkan lagu ini timbul selepas tiga hari arwah meninggal dunia. Ippo Hafiz yang usulkan pada Achey. Katanya, melodi dan lirik datang secara tiba-tiba ketika di studio rakaman.

"Ditambah pula ketika itu, Ippo melihat keadaan saya dan Achey termasuk orang ramai yang begitu terkesan sejak pemergian arwah. Kali pertama dengar melodinya, saya menangis. Saya cakap kepada Achey inilah perasaan kita pada arwah," tuturnya.

Menurut Fad, sebahagian hasil yang diperoleh daripada lagu itu akan disalurkan kepada anak, balu dan ibu arwah. Ini termasuk Pertubuhan Anak Yatim dan Miskin Baitu Saidi Khadijah, Gombak tempat arwah sering membuat sumbangan: "Sewaktu proses rakaman lagi, kami sudah berniat hasil pendapatan lagu ini akan ada bahagian untuk Hamzah, balu dan ibu arwah.

Klik untuk gambar besar


"Tidak ketinggalan untuk rumah anak-anak yatim tempat arwah selalu bantu. Bagi kami, ini saja yang kami boleh buat untuk arwah. Mungkin tak banyak, tapi dapat teruskan usaha murni arwah. Lagu ini juga bukan untuk tujuan perniagaan tapi untuk arwah supaya kita semua tidak lupa padanya. Dengar lagu ini, orang akan ingat dan boleh mendoakan arwah," katanya.

Video muzik rasmi single itu sudah mencecah tontonan lebih 700,000 hanya dalam tempoh 24 jam. Video muzik itu memaparkan momen dan kenangan manis tiga sahabat itu sepanjang pembabitan mereka dalam dunia seni.

Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan menghembuskan nafas terakhir pada 10 Februari lalu di rumahnya akibat demam panas. Arwah meninggalkan seorang balu, Siti Nurhidayah Mohd Ali dan seorang anak lelaki, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey yang kini berusia sembilan bulan.






www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro, Instagram Fad Bocey & Achey Bocey


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: