01 March 2020

MV LIRIK 'SEMBAH' TERIMA PENGIKTIRAFAN DBP - NAIM BERSYUKUR, TIDAK SANGKA


Video muzik lirik lagu barunya berjudul 'Sembah' nyanyian Naim Daniel yang menggunakan tulisan Jawi baru-baru ini telah mendapat pengiktirafan daripada institut Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Naim meluahkan rasa syukur dan berkata ia satu lagi pencapaian membanggakan buat dirinya secara peribadi sebagai artis dan juga pengurusannya.





"Alhamdulillah, saya sendiri tidak sangka sebenarnya dapat penghargaan daripada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka. Surat itu, pihak pengurusan yang dapat dan kemudian dihantar kepada saya. Saya rasa penghargaan itu menarik apabila hasil kerja saya mendapat pengiktirafan. Selalu nampak, nama DBP ini dalam buku teks saja sejak kecil dulu dan sekarang mereka memberi pengiktirafan.

"Semestinya ia satu pencapaian manis yang baru buat saya dan pengurusan, World Peace Entertainment. InshaaAllah, kami akan hasilkan banyak lagi karya yang mampu mendidik semua orang sambil memartabatkan industri seni di Malaysia," ujarnya.

Klik untuk gambar besar


Berkongsi lanjut mengenai lirik jawi dalam video berkenaan, Naim berharap ia akan memberi manfaat kepada industri seni jawi tempatan memandangkan ramai mula melupakan seni tulisan itu: "Saya dan pengurusan mengambil keputusan untuk buat lirik video Sembah menggunakan bahasa Jawi tanpa sebarang tujuan khusus pun pada mulanya. Cuma, kami mahu buat kelainan semata-mata.

"Apapun, kami berharap sedikit sebanyak dengan tulisan Jawi dalam lirik video itu boleh dipelajari semula oleh rakyat Malaysia. Apatah lagi, seni jawi semakin dilupakan. Maka, kami cuba untuk mempertahankan satu daripada seni terbaik dimiliki negara ini. Sambil menikmati muzik video berkenaan, orang ramai juga boleh mengasah balik pengetahuan mengenai bahasa jawi," kata pemenang Anugerah Juara Lagu 34 (AJL34) itu.

Terdahulu, Naim atau nama penuhnya Muhammad Naim Daniel Baharin, 23, berkongsi khabar gembira berkenaan menerusi Instagram. Dalam surat terbabit, DBP memuji dan menghargai usaha murni penyanyi terbabit memperkasakan tulisan Jawi dalam kalangan masyarakat.


www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro & Instagram Naim Daniel


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: