30 March 2020

TERKANDAS DI JAKARTA AKIBAT COVID-19 - BABY SHIMA TAK BERANI KELUAR


Penyanyi Baby Shima terus terkandas di Jakarta, Indonesia selepas tempoh darurat republik itu dilanjutkan di sehingga 19 April depan. Kata Shima walaupun sedih kerana tidak dibenarkan pulang ke Malaysia, namun dia akur dengan perintah berkenaan susulan penularan wabak Covid-19 di seluruh dunia.





Menurut Shima atau nama sebenarnya Nor Ashima Ramli, 28, biarpun tidak dapat berada bersama keluarga di Malaysia namun dia bersyukur kerana syarikat pengurusan prihatin dengan kebajikannya sepanjang berada di sana.

"Di sini (Jakarta) juga sudah disarankan untuk berada di rumah dan tidak dibenarkan keluar jika tiada keperluan. Walaupun ada saja kedai yang buka tapi saya mengambil langkah berjaga-jaga untuk sentiasa berada di rumah saja.

"Memang sedih tak dapat balik jumpa keluarga di Johor Bahru. Tapi nak buat macam mana, saya datang sini pun sebelum penularan wabak itu berlaku. Saya sentiasa hubungi keluarga dan mereka pun pesan untuk jaga diri. Kalau nak balik sekarang pun, tiada penerbangan ke Malaysia.

Klik untuk gambar besar


"Lagipun pihak berkuasa Indonesia pun menasihatkan supaya saya berada di rumah sahaja dan apabila keadaan sudah reda baru rancang semula balik ke Malaysia. Tapi Alhamdulillah, pihak pengurusan pun sentiasa memantau dan menyediakan barangan keperluan saya selama dua minggu. Jika barang habis, mereka akan bantu saya," kata Shima kepada mStar.

Indonesia juga antara negara Asia Tenggara yang mencatat kes wabak Covid-19 yang tinggi. Malaysia sudah menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan itu sejak 18 Mac lalu dan akan berlanjutan sehingga 14 April depan.

Dalam pada itu, penyanyi lagu 'Pura-Pura Bujang' ini memberitahu jadualnya juga terjejas berikutan beberapa acara dan jelajah di Malaysia dan Indonesia terpaksa dibatalkan. Bagaimanapun, peserta Big Stage musim pertama ini mendoakan agar penularan wabak Covid-19 dapat ditangani secepat mungkin.

"Sebenarnya jadual saya memang terjejas sebab beberapa acara di Malaysia dan Indonesia dibatalkan serta ditundakan. Sepatutnya April depan saya ada jelajah di Jawa dan Sumatera tapi ditunda. Saya berharap sangat wabak ini cepat berakhir. Kalau ada peluang untuk balik ke Malaysia, memang saya nak balik. Semua orang risau, tapi keadaan sekarang tak mengizinkan kita nak ke mana-mana," ujarnya.




www.myartis.com / Sumber & foto: mStar & Instagram Baby Shima


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: