06 March 2020

TERLANTAR UZUR - PENYANYI BERGABUNG KUMPUL DANA BANTU ZALEHA HAMID


Semua mengetahui mengenai keadaan terkini penyanyi veteran era 1980-an, iaitu Zaleha Hamid, 65, yang uzur dan hanya terlantar di katil. Justeru itu, beberapa penyanyi bergabung untuk mengadakan persembahan amal. Persembahan nyanyian bagi mengumpul dana untuk membantu Zaleha itu dijangka berlangsung pada 11 April depan di Pangkalan Balak, Kuala Sungai Baru Melaka.





Salah seorang penyanyi dalam persembahan amal itu, Sheeda dangdut berkata, penganjur iaitu Five Gold Stars Production membuat jualan meja kepada pihak berminat memberikan sumbangan: "Selepas mengetahui Zaleha sakit, kami barisan penyanyi dangdut berbincang untuk mengadakan persembahan amal untuk mengumpul bantuan kewangan untuknya

"Apatah lagi, Zaleha pernah membina kerjaya nyanyiannya yang kukuh di negara ini dan Singapura. Selain, dia juga antara perintis awal bagi muzik dangdut di Malaysia. Pada era kecemerlangan sebagai penyanyi dikenali, Zaleha pernah mendapat gelaran Ratu Dangdut Malaysia dan Ratu Dangdut di Singapura," katanya.

Sheeda berkata, sumbangan Zaleha dalam industri hiburan tanah air pada usia mudanya tidak boleh dinafikan dan sekarang dia perlu dibantu. Ketika aktif menyanyi dahulu, Zaleha pernah popular dengan lagu seperti 'Jangan Kau Tangiskan', 'Dangdut Raggae', 'Kerana Pengalaman' dan banyak lagi.

Sehubungan itu, barisan penyanyi terbabit dalam acara persembahan amal dirancang ialah Reena Eva, Karl Lejen, Nas Kilauan Emas, Khaty Azian, J Sham, Siti Fairuz dan Ejik The Majik. Menurut Sheeda, harga meja dijual pula sangat berpatutan yang mana secara berkumpulan hanya RM350 manakala individu (RM35).

Ujarnya lokasi persembahan nyanyian yang akan berlangsung sekitar jam 9 malam itu ialah Cafe In The Farm Melaka. Kehadiran orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan dialu-alukan. Menelusuri pembabitan awal Zaleha dalam kerjaya seni dia mula berkecimpung sejak berusia 5 tahun bersama bapanya, Abdul Hamid Tambi Kecik dengan menjayakan persembahan Panggung Bangsawan.

Minat mendalam Zaleha pada muzik tidak boleh disangkal kerana dia antara penyanyi yang berani mencuba untuk membawa kelainan dalam memantapkan nama dan bakat dimiliki. ebelum jatuh sakit diserang angin ahmar, Zaleha sebelum itu pernah muncul dalam program realiti Gegar Vaganza musim keenam (GV6) pada 22 Disember lalu.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: