10 April 2020

8 POSITIF COVID-19 - JUREF LATIFF MINTA TIDAK TUDING JARI TERHADAP PRODUKSI 'DEMI'


Umum sedia maklum mengenai lapan daripada mereka membabitkan pengarah, penolong pengarah, jurukamera, kakitangan bahagian pakaian dan solekan termasuk pelakon utamanya, Puteri Aishah dan pelakon pelakon kanak-kanak, Puteri Rayyana Rayqa, 6, yang menjalani penggambaran drama 'Demi' di Inverness, Scotland pada 31 Mac lalu itu disahkan positif Covid-19.





Presiden Persatuan Penerbit Malaysia (PVTM), Datuk Jurey Latiff Rosli meminta supaya tiada pihak menuding jari terhadap produksi drama 'Demi'. Jurey ketika dihubungi berkata, beliau bersimpati dengan apa yang sudah berlaku dan mendoakan mereka segera pulih serta kembali sihat:

"Saya memang tahu kru produksi drama Demi terbitan Elisa Vision Sdn Bhd ke Scotland pada 9 Mac lalu untuk melakukan penggambaran drama 26 episod untuk RTM. Pada saya, mereka bukan degil atau ingkar tetapi semuanya dibuat mengikut kontrak yang sudah dipersetujui dengan stesen TV.

"Ditambah, mengambil kira juga jadual artis dan aktiviti penggambaran di sana. Perlu diketahui, perancangan penggambaran di luar negara selalunya sudah dibuat beberapa bulan lebih awal dan ketika itu wabak Covid-19 pun belum menular dalam negara seteruk ini," Ujarnya.

Menurut Jurey, pada awal Mac lalu aktiviti penggambaran drama masih dijalankan seperti biasa dalam negara sehinggalah arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumum kerajaan berkuat kuasa pada 18 Mac lalu.

"Beberapa hari selepas PKP dikuat kuasa di negara ini, saya ada berhubung dengan pihak produksi berkenaan di Scotland menerusi WhatsApp bertanya keadaan mereka dan meminta supaya pulang ke tanah air segera. Ketika itu, saya dimaklumkan mereka semua sihat dan masih sibuk menjalankan aktiviti penggambaran drama kerana di Scotland pun tidak dikeluarkan perintah larangan bekerja ketika itu," jelasnya.

Jurey berkata, beliau tetap mengingatkan pihak produksi berkenaan supaya meminta semua orang memakai topeng penutup hidung dan mulut, menjaga jarak sosial masing-masing, utamakan kebersihan dan kerap mencuci tangan.

"Saya juga tegaskan kepada mereka supaya dapat pulang segera ke tanah air sebelum kerajaan mengumumkan penutupan semua laluan keluar dan masuk negara melalui pengangkutan udara. Nak cakap lebih pun, mereka semua sudah ada di sana (Scotland). Namun, saya tetap yakin pihak produksi sudah melakukan sebaik mungkin dalam menjaga kebajikan artis dan kru produksi sepanjang di luar negara," katanya.

Ditanya juga tindakan selanjutnya PVTM, Jurey berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan stesen TV selepas ini kerana wabak Covid-19 yang menular meninggalkan kesan besar pada industri dan ekonomi.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: