15 April 2020

ALAMI STROK - SHUAIB FREEDOM TAK MAMPU CARI REZEKI SEJAK TIGA TAHUN LALU


Penyanyi dan pemain dram kumpulan Freedom, Shuaib Shaari, 61, yang diuji dengan penyakit strok itu tidak mampu bermain muzik, sejak tiga tahun lalu. Shuaib Shaari, 61, yang juga ketua kumpulan Freedom menghabiskan sisa hidup di Kampung Sungai Tua, Gombak bersama isteri tersayang.





"Sepasang tangan inilah yang digunakan sejak lebih 40 tahun lalu mencari sesuap rezeki bagi menyara keluarga. Tetapi, kini, tangannya tidak mampu bergerak. Saya tak mampu mencari rezeki lagi. Mulanya, tangan kanan langsung tidak boleh digerakkan, namun sekarang bergerak sikit, berkat ikhtiar mengurut.

"Saya mahu bekerja selepas pulih penyakit strok, walaupun tidak sepenuhnya. Bagaimanapun, apalah kerja yang mampu dilakukan dalam keadaan begini. Tangan pun tidak mampu lagi menghayun kayu dram,” tuturnya.

Shuaib berkata, dia pernah terfikir menjadi pemandu e-hailing, tetapi dalam seperti ini, tak mungkin diterima: "Setakat memandu di kawasan rumah boleh ditemani isteri. Kini, kami hanya bergantung hidup dengan anak-anak. Alhamdulillah dapat juga mengisi perut walaupun tidak mewah," ujarnya.

Shuaib yang kini banyak menghabiskan masa dengan aktiviti keagamaan berkata, sesekali timbul kerinduan mahu bermain muzik. Katanya, sebelum sakit, dia bersama dua anggota Freedom, Datuk Mohd Nor Shahriman yang juga pemain bass dan Richard Gomis (keyboard) aktif bermain di kelab. Namun, sahabatnya itu juga membawa haluan, sejak keadaan kesihatannya merosot.

"Richard masih bermain muzik, tetapi saya tidak pasti Mohd Nor. Saya agak terkilan kerana kami pernah berhasrat mengadakan konsert reunion, tetapi tak kesampaian apabila dua anggota, Allahyarham Seha (vokalis) dan Abd Ghani Karim (gitar) meninggal dunia.

"Arwah Seha meninggal dunia akibat kanser paru-paru pada 2006, manakala Ghani pula menyusulinya 10 tahun kemudian. Selepas arwah Seha tiada, hasrat mengadakan konsert terus terkubur," jelasnya.

Shuaib berkata, arwah Seha adalah gabungan Freedom paling menjadi: "Namun, jodoh kami dengan arwah tak panjang. Arwah membuat keputusan bergerak solo ketika nama Freedom berada di puncak. Kami hanya sempat merakamkan dua album.

"Selepas ketiadaan Seha, apa yang Freedom lakukan bagaikan tidak kena. Kami pernah menggantikan tempat Seha dengan penyanyi lain, malah saya sendiri pernah merakamkan lagu solo, tetapi tetap tidak berjaya melonjakkan nama Freedom semula. Begitu juga Seha, kerjaya solonya juga tidak serancak ketika bersama Freedom," katanya.

Untuk info, Kumpulan Freedom cukup popular pada era 1980-an. Muncul dengan beberapa lagu hit seperti 'Mulanya Di Sini', 'Jauh Di Rindu' dan 'Persamaan' ketika vokalis utamanya, arwah Seha berjuang bersama mereka.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: