15 April 2020

DIBURU MEDIA INDONESIA - EIRA SYAZIRA NAFI MV 'KAU YANG KU SAYANG' PEMUJAAN


Nampaknya percubaan penyanyi dan pelakon Eira Syazira, 36, yang sekadar beralih arah ke rentak muzik dengan menyampaikan single berentak Jawa Koplo remix berjudul 'Kau Yang Ku Sayang' itu telah menimbulkan isu panas. Segelintir netizen mempertikaikan konsep muzik video yang dipersembahkan.





Menerusi ruangan komen dalam laman YouTube, netizen mendakwa muzik video lagu Kau Yang Ku Sayang seperti melakukan ritual pemujaan terhadap Ratu Nyai Roro Kidul, kisah lagenda yang cukup popular di negara seberang itu. Nyata, komen peminat menimbulkan perasaan kurang senang kepada Eira atau nama sebenarnya, Syazira Shuhaimi hingga memaksanya memberi penjelasan dalam laman Instagram, baru-baru ini.

Eira berkata, dia terkejut dengan komen yang diterima berhubung muzik video berkenaan. Mengakui dihantui perasaan bimbang, wanita kelahiran Kuala Lumpur itu berkata, dakwaan melakukan ritual pemujaan bukan perkara main-main kerana ia berkaitan soal akidah.

Klik untuk gambar besar


"Saya tak sangka hingga tahap itu pemikiran netizen mengenai konsep muzik video ini. Saya percaya dakwaan timbul apabila melihat lenggok tari dan baju berwarna hijau yang cukup sinonim dengan penampilan wanita dimaksudkan.

"Selain itu, lokasi pantai juga membuatkan ramai beranggapan saya melakukan ritual berkenaan. Konsep muzik video dibuat sejajar dengan genre Jawa Koplo remix yang didendangkan. Bagaimanapun, saya bimbang apabila ada yang menyamakannya dengan upacara pemujaan. Ini sangat sensitif buat saya," tuturnya.

Pelakon filem 'Ngangkung' dan 'Aku Bukan Tomboy' itu berkata, dia diburu media massa di Indonesia yang mahu mendapatkan penjelasannya berhubung muzik video itu: "Saya dimaklumkan, ramai wartawan mencari wakil syarikat pengurusan mempersoalkan isu ini.



"Saya berharap ia tidak menjadi isu besar kerana ia hanya sebuah tarian dan tiada kena mengena dengan ritual seperti didakwa. Dari konsep, tatarias dan pakaian, semuanya disediakan pihak produksi. Saya hanya mengikut arahan sahaja," ujar ibu kepada tiga cahaya mata itu.

Walaupun dihambat kontroversi, namun Eira bersyukur kerana lagu Kau Yang Ku Sayang mendapat respon yang baik daripada peminat: "Saya percaya peminat sudah lama menantikan saya membuat perubahan dari segi genre muzik.

"Sebelum ini, saya lebih selesa mendendangkan lagu bergenre pop dan balada. Namun, saya memberanikan mencuba muzik yang mempunyai ramai pengikut desakan peminat dan syarikat rakaman yang mahukan perubahan. Sebenarnya sudah ramai peminat menyuarakan pandangan supaya saya membawakan lagu bergenre Jawa Koplo remix ini. Genre ini amat popular di Indonesia," katanya.




www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram Eira Syazira


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: