17 April 2020

COVID-19 - ASHRAF KATA ADA HIKMAH, HARI-HARI BACA AL-QURAN & SOLAT JEMAAH


Pelakon Ashraf Muslim yang dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, Selangor kerana dijangkiti Covid-19 sejak Ahad lalu itu berkata banyak hikmah dipolehi sepanjang menerima rawatan di wad hospital berkenaan. Menurut Ashraf, 38, sepanjang berada di wad, dia dapat menunaikan solat secara berjemaah dan mengisi waktu dengan pelbagai aktiviti keagamaan bersama pesakit lain.





"Selama ni saya tak tahu, apabila dah kena baru saya faham kenapa Allah pilih saya sebagai orang yang kena Covid-19. Banyak saya belajar benda menarik di sini, banyak hikmah Allah berikan. Setiap hari dapat solat berjemaah tepat waktunya dan ada ceramah... macam-macam aktiviti di sini.

"Kalau di rumah, tak sempat itu semua, duduk seorang tengok televisyen sahaja. Dekat sini kawan-kawan semua baca Al-Quran, cerita fasal agama dan kebesaran Allah. Senang cerita datang sini macam masuk summer camp, kem bina semangat.

Klik untuk gambar besar


"Di sini ramai pesakit daripada kalangan jemaah tabligh, mereka tunjuk cara dakwah dan buat hati kita tenang. Sebab itu Allah pilih mereka sebagai golongan terawal dapat Covid-19," katanya menerusi siaran langsung di Instagram pada malam Khamis.

Sementara itu, Ashraf turut memperbetulkan tanggapan negatif netizen mengenai pesakit dalam kalangan kluster jemaah tabligh: "Saya selalu fikir kenapa Covid-19 bermula dalam kalangan jemaah tabligh, ramai orang salahkan mereka... ini jawapan saya nak beritahu!

"Di wad ini ada berpuluh pesakit daripada jemaah tabligh dan mereka ini menghidupkan hospital dan wad dengan nilai Islam... tunjuk kepada kita cara dakwah. Setiap wad diazankan oleh pesakit. Ada tabligh, ada pelajar madrasah. Kalau orang dah solat jemaah depan mata, mestilah kita ikut sekali... banyak benda yang kita belajar di sini," ujarnya.



Bercerita mengenai tanda-tanda sebelum dia disahkan positif Covid-19, pelakon drama 'Geng Tadarus' ini memberitahu tidak mengalami sebarang simptom sehinggalah hari ke-12 jangkitan. Katanya selepas empat hari dimasukkan ke hospital, baharulah dia mula mengalami sakit tekak dan sesak nafas.

"Sekarang ini saya mula sakit tekak, nafas kadang-kadang on off macam susah sikit... nak makan sakit tapi semua orang lain-lain simptom. Saya ni selepas 14 hari baru ada simptom sakit. Hari kelima dimasukkan ke wad baru rasa pedih-pedih di tekak, sesak nafas... macam itulah, perut pun rasa macam ada angin, sebu, lepas tu hilang, ada masa dia datang semula.

"Nasib baik saya pergi buat saringan, kalau tak buat ujian jalan sana sini dah banyak tempat saya bawa virus... boleh dikatakan 25 peratus di sini tak ada simptom, jadi semua ikutilah saranan kerajaan, kuarantin dan terus duduk di rumah," ujarnya.








www.myartis.com / Sumber & foto: mStar & Instagram Ashraf Muslim


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: