08 April 2020

COVID-19: BEN AMIR NEGATIF - PENGARAH DRAMA 'DEMI' & 4 ANGGOTA PRODUKSI POSITIF


Pelakon Ben Amir yang turut terlibat dengan penggambaran drama 'Demi', arahan Rahila Ali di Inverness, Scotland pada awal Mac lalu itu mengesahkan dirinya negatif jangkitan covid-19. Namun begitu, enam tenaga kerja pasukan produksi drama terbabit disahkan positif COVID-19.





Ben ketika dihubungi berkata, dia bersyukur kerana dirinya tidak dijangkiti selepas ujian saringan COVID-19 dijalankan. Bagaimanapun Ben bersimpati dengan dengan Puteri Aishah, Rahila dan seorang kru produksi yang disahkan positif COVID-19.

Selain itu dia turut memohon maaf kerana tidak dapat berkongsi lebih lanjut mengenai perkara tersebut kerana bimbang timbul spekulasi: "Alhamdulillah setakat ini keadaan saya baik-baik saja. Tiada sebarang gejala dijangkiti wabak ini. Doakan pengarah Rahila Ali, Puteri Aishah dan kru produksi yang dijangkiti COVID-19 sembuh ya.

"Saya minta maaf sebab tak boleh nak berkongsi lebih mengenai perkara ini sebab takut timbul spekulasi dan cerita tidak betul. Semoga kita semua yang masih sihat ini, terus kuat menghadapi dugaan dan dijauhkan daripada wabak ini," tuturnya.

Mengulas mengenai saringan kedua COVID-19 seperti yang diberitahu Rahila sebelum ini, Ben berkata ujian kali kedua tersebut mungkin untuk mereka yang sudah disahkan positif: "Ya ada dengar mengenai ujian kedua tersebut. Mungkin untuk mereka yang sudah disahkan positif," ujarnya tenang.

Sementara itu, pengarah drama, Rahila Ali mengesahkan, dirinya bersama pelakon Puteri Aishah dan empat anggota produksi lain mendapat keputusan positif COVID-19, selepas menjalani ujian saringan di sebuah hospital swasta, kelmarin.

"Ya, kami disahkan positif COVID-19. Saya menerima keputusan ujian semalam, manakala beberapa kru lain termasuk Puteri Aishah terima hari ini. Kami tidak mengalami simptom seperti demam, sakit tekak atau sesak nafas. Bagaimanapun, kami tidak bernasib baik apabila dijangkiti virus berbahaya itu. 

Klik untuk gambar besar


"Saya bersama pelakon dan kru mematuhi arahan menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari, sejak tiba di Kuala Lumpur pada 31 Mac lalu. Kami tidak bertemu sesiapa termasuk keluarga apabila ditempatkan di kediaman lain yang disediakan produser," jelasnya.

Rahila berkata, buat masa ini, dia, pelakon dan kru masih menunggu keputusan laporan penuh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM): "Saya diberitahu wad hospital penuh, jadi masih menunggu panggilan KKM untuk membawa kami ke hospital. Sekarang, kami masih berada di rumah. Kami akan menjalani ujian saringan kedua sebaik dibawa ke hospital," tuturnya.

Pengarah filem 'Aku Ada Kau Ada' itu berkata, terlalu banyak cerita yang salah digembar-gemburkan hingga mendatangkan tekanan buat mereka: "Saya mengharapkan doa baik-baik. Doakan kami kuat menempuh ujian ini," katanya.

Kumpulan produksi drama Demi berlepas ke Scotland pada 9 Mac lalu, sebelum kes penularan COVID-19 ketara dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) belum dikuat kuasa. Seramai 18 tenaga kerja termasuk pengarah, pelakon dan kru yang menjalani penggambaran drama 26 episod siaran RTM itu tiba di Kuala Lumpur, Selasa lalu.

Selain Ben dan Puteri Aishah, pelakon lain yang terlibat dalam penggambaran drama 'Demi', diadaptasi daripada novel ialah Ashraf Muslim dan Puteri Rayyana Rayqa. Ben pulang ke tanah air lebih awal, iaitu pada 27 Mac lalu berbanding semua kru dan pelakon lain yang kembali ke Malaysia empat hari selepas itu, iaitu pada 31 Mac lalu.

"Sampai di Malaysia saya terus kuarantin diri di rumah dan selepas tu buat pemeriksaan di sebuah pusat perubatan di Damansara. Berdebar juga tunggu keputusan, tapi esoknya tu saya disahkan negatif COVID-19," katanya.




www.myartis.com / Sumber: Astro Gempak & Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: