23 April 2020

DERITA LUMPUH - IZAM EYE MOHON SUMBANGAN, TAK KISAH KATA ORANG


"Sebelum ini, saya mampu bertahan apabila menyanyi menggunakan kerusi roda. Jadi, saya masih ada sumber pendapatan untuk menanggung keluarga. Bagaimanapun, sekarang saya berdepan dengan situasi getir hilang punca pendapatan berikutan tempoh PKP. Lagipun, mahu menyambut Ramadan. Saya mempunyai dua isteri dan tujuh cahaya mata.





"Saya risau nasib diri dan keluarga, lebih lagi dalam keadaan diri menderita penyakit lumpuh separuh badan," demikian ujar vokalis kumpulan EYE, Izam, 52, yang menderita penyakit lumpuh separuh badan sejak hampir setahun lalu, namun semangatnya masih kuat untuk berjuang biarpun dalam keadaan sedemikian.

Tiada keupayaan pada diri tidak sesekali membuatkan Izam putus asa dalam mencari sesuap rezeki bagi menanggung dua isteri dan tujuh cahaya mata. Biarpun tidak mampu ligat seperti biasa kerana pergerakannya terbatas, jalan senget dan tak sempurna. Namun, penyanyi lagu 'Izinkan Selamanya Namamu Di Hati' itu masih mempunyai kudrat memenuhi undangan nyanyian, biarpun menyanyi atas kerusi roda.

Bagaimanapun, kini, Izam atau nama penuhnya, Mohd Izam Mohd Arshad menempuh situasi sukar apabila hilang punca pendapatan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasa pada 18 Mac lalu. Terbaharu, tersebar posternya meminta sumbangan orang ramai dalam membantu meringankan bebanannya.

Klik untuk gambar besar


Izam berkata, ini kali kedua dirinya terpaksa menebal muka meminta sumbangan orang ramai: "Saya kali pertama meminta sumbangan ketika mula diserang penyakit lumpuh, kira-kira 11 bulan lalu. Bagaimanapun, tidak berpanjangan kerana saya masih gigih mencari rezeki menyanyi.

"Secara kebetulan, saya menerima undangan persembahan kecil termasuk membantu badan bukan kerajaan (NGO) membantu fakir miskin di Sabah. Kini, saya tiada pilihan dan terpaksa minta sumbangan. Saya amat terdesak. Kalau fikir malu, ia tidak membawa kesudahan. Orang nak kata apa, terpulang," tuturnya.

Menurut Izam, dia sangat memerlukan bantuan dari segi makanan, barangan keperluan dan perbelanjaan untuk rawatan serta ubat-ubatan. Bagaimanapun, Izam meluahkan rasa syukur kerana menerima sumbangan daripada beberapa pihak antaranya penyanyi Nash Lefthanded.



"Sebelum ini, ada la income daripada show dan perniagaan minyak wangi. Sekarang ini pendapatan saya memang dah tak ada sejak kena serangan angin ahmar Jun tahun lalu. Dua rumah sewa nak kena bayar, anak saya ada tujuh orang nak kena tanggung, memang pening kepala memikirkannya. Saya pun dah tiga bulan terpaksa berhenti buat rawatan.

"Duit simpanan saya pun hampir nak habis sebab banyak guna beli barangan keperluan. Jadi, saya memang mengharapkan sumbangan daripada orang ramai. Tapi saya bersyukur ada yang memberi bantuan antara Nash. Sebenarnya ramai orang tak tahu keadaan saya sebab tak heboh kepada umum," kata Izam yang mempunyai dua orang isteri iaitu Hayatie Rahmat dan Rosmawati serta dikurniakan tujuh anak.

Dalam pada itu, Izam memberitahu biarpun keadaannya semakin beransur pulih dan tidak lagi memerlukan kerusi roda namun pergerakannya masih terbatas: "Alhamdulillah, keadaan saya bertambah baik dan sekarang ini bukan tak sihat tapi kurang sihat. Kerusi roda pun hanya untuk standby sahaja tapi badan tak berapa kuat.

"Kalau sebelum ini saya hanya terbaring saja tapi sekarang dah boleh berjalan. Cuma, kaki kanan dan tangan saya tak kuat. Saya tak nak layan sakit, kena cuba kuatkan diri. Selalunya orang kata akan baik dalam lima atau enam bulan tapi hakikatnya sampai masih belum baik," ujarnya.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian & mStar


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: