01 April 2020
HARI KELAPAN PKP - LINDA ONN ALAMI SERANGAN PANIK
Sejak hari kelapan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, penyampai radio Kool FM, Linda Onn mengalami serangan panik (Panic Disorder). Linda berkata, antara simptom dialami adalah jantung berdegup laju, tangan dan kaki sejuk, berpeluh, sesak nafas dan banyak lagi.
"Jika perasan, sejak hari pertama pada 18 Mac lalu sehingga hari ketujuh, setiap hari saya memuatnaik aktiviti kuarantin di rumah di media sosial. Niat hati nak kemaskini setiap hari. Bagaimanapun, masuk hari kelapan sehingga semalam, saya tak kemaskini apa-apa kerana saya kena serangan panik.
"Jadi saya kemudian berjumpa pakar psikatri dan terangkan satu-persatu. Semua yang saya terangkan itu ada dalam buku ‘panic disorder’ doktor itu. Beliau memang mengesahkan apa yang saya alami itu adalah simptom serangan panik. Rasanya saya mengalami masalah itu apabila diminta menjalani kuarantin selepas pulang dari Singapura beberapa hari sebelum PKP dilaksanakan,” katanya.
Menurut Linda, selepas pulang dari Singapura dia dijangkiti selsema menyebabkan dia berfikir yang bukan-bukan: "Apabila sudah mula panik, mulalah kita rasa kita sakit itu, sakit ini. Kemudian, ada orang cadangkan itu, cadangkan ini. Mesej WhatsApp yang saya terima semuanya mengenai ini.
Klik untuk gambar besar
"Nak keluar rumah tak boleh. Nak cerita pada anak, dia tak faham lagi. Fikiran pun jadi celaru. Apatah lagi sekarang musim Covid-19 ini. Semua sebab saya fikir terlalu banyak, jadi risau gelisah. Hanya tenang sewaktu solat dan baca al-Quran saja.
"Sejak dari itu, saya tidak dengar atau tengok satu berita pun. Saya tidak ambil tahu. Jadi tidak buka Facebook, Instagram, WhatsApp, TV dan membaca berita. Namun, saya masih mengalami serangan panik. Ia boleh serang bila-bila masa saja," tuturnya.
Bagaimanapun, sejak semalam dia mula lega dan kembali bersiaran di Kool FM: "Selepas seminggu saya bergelut dengan serangan panik ini, baru saya dapat bernafas sikit. Mungkin fikiran sudah lebih positif.
"Semalam juga hari pertama saya kembali ke konti radio. Jadi, otak ini sudah ke arah kerja, tak fikir sangat mengenai perkara bukan-bukan. Sejak semalam juga saya tonton YouTube mengenai langkah menghadapi serangan ini. Ia mengajar teknik pernafasan dan macam mana nak tenangkan diri," katanya.
www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro & Instagram Linda Onn
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment