01 April 2020

"TAK KENAL, JAUH SEKALI BERJUMPA... TIDAK AKAN MINTA MAAF" - LYDIAWATI & ANNE ABDULLAH


Berhubung artis kontroversi yang meminta membuat permohonan maaf secara terbuka atas dakwaan memburukkannya dalam aplikasi grup Telegram, Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), dua pelakon Lydiawati dan Anne Abdullah memberitahu yang mereka tidak akan tunduk dengan desakan tersebut.





Ia didakwa berpunca video dimuat naik artis kontroversi yang mengecam dan menyelar golongan selebriti membabitkan isu mohon bantuan kerajaan buat penggiat seni terjejas berikutan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuat kuasa.

Ramai selebriti terguris dan memuat naik sindiran serta pandangan terhadap artis kontroversi itu. Artis kontroversi kemudiannya membalas dan memetik beberapa nama selebriti, selain membuat video hasutan terhadap penggiat seni.

Bukan hanya artis kontroversi, kekasihnya juga didakwa campur tangan hingga menuntut beberapa artis mohon maaf. Poster memuatkan wajah Lydiawati dan Anne dengan tuntutan permohonan tersebar dalam laman maya.

Anne mempertikaikan tindakan artis berkenaan menuntutnya membuat permohonan maaf secara terbuka. Katanya, dia tidak akan tunduk dengan desakan, hanya kerana menjelaskan kepada rakan dalam grup Telegram siapa artis dimaksudkan, memandangkan ada yang tidak mengenalinya.

"Ramai nak tahu siapa artis yang diperkatakan, jadi saya jelaskan secara ringkas. Saya tidaklah mengenali dirinya. Bagaimanapun, artis berkenaan memetik nama saya gara-gara penjelasan dalam grup berkenaan. Bukan itu sahaja, saya menerima mesej daripada individu tidak dikenali minta supaya membuat permohonan maaf secara terbuka kepada artis itu.

"Dia memberikan tempoh tertentu pada saya. Kenapa, saya perlu tunduk arahannya, sedangkan dia bertindak memburukkan penggiat seni? Disebabkan hasutannya, anak seni menerima kecaman hebat netizen,” katanya.

Anne berkata, mereka sepatutnya bersatu hati dan berhenti mengecam antara satu sama lain. Bagaimanapun, berlaku situasi sebaliknya apabila penggiat seni dihentam berikutan isu permohonan bantuan kerajaan.

"Netizen mengutuk kami 'sengkek' dan tidak berduit. Tidak dinafikan, ada antara kami terkesan kerana bukan semua kaya raya. Kenyataan artis berkenaan menyebabkan kekeruhan hingga ada netizen memaki hamun dan mengecam artis dengan melampau.

"Kami tidak boleh berdiam diri dan perlu menghentikan tindakan artis berkenaan. Tindakan perlu diambil supaya golongan selebriti tidak terus menjadi kecaman masyarakat," ujarnya.

Lydiawati berkata, seperti Anne, dia juga tidak akan tunduk dengan permintaan mohon maaf. Katanya, dia tidak pernah bertemu dengan artis berkenaan: "Saya tak kenal, jauh sekali pernah berjumpa dengannya. Macam mana saya boleh dituduh bergaduh dengannya? Siapa dia, pelakon, penyanyi atau pelakon 'ekstra'? Saya tidak akan minta maaf," tuturnya.

Pelakon Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) pada 1996 itu berkata, dia tidak menyentuh nama artis berkenaan dalam grup Telegram: "Saya tak sebut nama siapa pun. Kutuk, ada ke saya kutuk dia. Kenapa nak terasa? Saya tak tahu dia dapat info daripada mana mengenai saya mengutuk dia. Siapa yang menyampaikan, tanyalah orang dalam grup itu," katanya.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: