21 April 2020

ISTERI BERSYUKUR MAMAT KHALID TIADA MASALAH KESIHATAN SEJAK PKP


Isteri pengarah terkenal, Mamat Khalid iaitu Hasmah Hassan meluahkan rasa syukur kerana suaminya tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasa sejak 18 Mac lalu.





"Alhamdulillah, abang okay. Dia rasa sudah sihat dan boleh solat secara duduk. Dia juga sekarang dah boleh jalan menggunakan tongkat tanpa bergantung dengan kerusi roda. Kalau ikutkan syarat polis, untuk urusan berjumpa doktor dibolehkan, tapi abang Mamat yang tak nak pergi.

"Sepatutnya setiap bulan dia kena buat pemeriksaan berkala di hospital swasta di Ipoh. Sebulan sekali, dia kena ambil darah untuk lihat bacaan darah merah, oksigen dalam darah serta buah pinggang dan hati. Dulu dia anggap dirinya macam sayur kerana dah lembik. Sekarang dia kena banyak bersenam untuk bina semula otot-otot yang dah kendur," tuturnya.

Menurut Hasmah, suaminya perlu makan ubat untuk jantung seperti biasa mengikut arahan doktor: "Abang Mamat tiada masalah kencing manis atau buah pinggang. Cuma, dia tidur lama sangat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama 21 hari. Syukur kerana dia serasi dengan ubat yang diberi doktor di hospital terbabit," katanya.

Mamat atau nama sebenarnya Mohamad Mohamad Khalid pernah dimasukkan ke ICU di pusat perubatan swasta di Petaling Jaya pada akhir Januari tahun lalu dan koma lebih dua minggu. Dia kemudiannya dimasukkan lagi ke hospital berikutan masalah sama pada pertengahan Oktober tahun lalu.

Ditanya juga projek terbaru suaminya, Hasmah berkata, mereka sepatutnya sudah memulakan penggambaran drama 12 episod siri Kampung Pisang untuk Astro: "Ia baru diperingkat pra-produksi dan kini tertangguh akibat PKP. Sepatutnya setiap kali puasa kami akan hasilkan drama 18 Ramadan untuk Astro First. Ia kesinambungan siri terdahulu tapi kali ini kami tak sempat buat penggambaran.

"Justeru, mereka tawarkan kami untuk tayangkan filem arahan abang Mamat iaitu Manap Karaoke. Diharapkan sekurang-kurangnya peminat terhibur dengan buah tangan abang Mamat untuk tontonan Ramadan dan Syawal nanti," jelasnya.

Filem lakonan Joey Daud, Mona Allen, Pekin Ibrahim dan Ropie itu sepatutnya ditayangkan di pawagam pada Ogos ini. Namun, ia bakal ditayangkan di saluran Astro First pada 7 Mei ini.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: