09 April 2020

PELAKON KANAK-KANAK DRAMA 'DEMI' & IBUNYA POSITIF COVID-19


Sebelum ini pelakon utama drama 'Demi' iaitu Puteri Aishah dilaporkan positif jangkitan Covid-19, termasuk lima kru lain membabitkan pengarah, penolong pengarah, jurukamera, kakitangan bahagian pakaian dan solekan. Terkini, pelakon kanak-kanak, Puteri Rayyana Rayqa, 6, yang menjalani penggambaran drama terbabit di Inverness, Scotland turut disahkan positif Covid-19.





Turut positif wabak itu ialah ibunya yang dikenali sebagai Syira yang menemaninya sepanjang terbabit dalam penggambaran itu di sana. Syira ketika dihubungi berkata, dia reda dan yakin apa yang berlaku adalah ujian Allah SWT: "Saya dan Rayqa buat ujian pagi semalam di sebuah pusat perubatan di Petaling Jaya. Pagi tadi baru dapat panggilan yang kami positif Covid-19.

Sekarang, kami sedang menunggu panggilan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan selanjutnya. Saya tidak mengalami sebarang gejala, cuma Rayqa yang demam sejak di sana lagi. Sejujurnya, tak tahu nak cakap apa apabila dapat berita ini. Apa boleh dikatakan, Allah sayang kami, sebab itu Dia uji kami," ujarnya.

Klik untuk gambar besar


Syira berkata, sepanjang di sana dia bersama pasukan produksi saling mengingatkan antara satu sama lain dalam soal penjagaan kesihatan dan kebersihan: "Di sana kami tinggal sekali dan sentiasa bersama-sama. Kami jaga kebersihan, setiap hari makan vitamin C dan saling mengingatkan soal keselamatan masing-masing. Apabila dapat berita ada kru yang positif, pada mulanya takut juga.

"Tapi, saya berserah pada Allah. Kalau betul Allah nak bagi penyakit ini, kami reda. Apa yang penting sekarang, saya dan anak mahu sihat saja. Dalam keadaan sekarang ini kita kena berfikiran positif. Saya berharap masyarakat tidak memandang negatif dengan kami. Tidak minta pun perkara ini nak berlaku. Doakan kami semoga diberi kesembuhan," katanya.

Rombongan seramai 18 orang termasuk pelakon berlepas ke Scotland pada 9 Mac lalu iaitu sebelum peningkatan kes Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Pelakon lain yang terbabit dalam drama terbitan Elisa Vision Sdn Bhd itu adalah Puteri Aishah, Ashraf Muslim, Ben Amir dan Hasnul Rahmat.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: