22 April 2020

SERONOK LAYAN 32 CUCU, 14 CICIT - PAK HAMID GURKHA TERIMA SUMBANGAN


Setiap kali beraksi, karakter bintang komedi era 1980-an, Pak Hamid Gukha sering dilihat bersahaja dan kadang-kala lurus bendul dan ia terus menarik perhatian ramai. Tidak hairanlah, kemunculan Pak Hamid dengan beberapa pelawak lain seperti A R Badul dan Allahyarham Datuk Yahya Sulong dalam filem mahupun persembahan pentas, dinanti-nantikan peminat.





Pembabitan Hamid yang sudah menjangkau usia 88 tahun, mewarnai dunia senimatik Melayu, terutama pada era kebangkitan filem genre komedi. Masih sihat dan menetap di Klang, Selangor, pelakon dan pelawak ini mengaku pada usia sekarang, masa yang ada hanyalah untuk isteri, Timah Abdul Hamid dan keluarga.

Hamid berkata, dia tidak berniat untuk kembali beraksi, biarpun sekadar membuat penampilan atas faktor usia. Bagi Hamid atau nama penuhnya, Abdul Hamid Abdul Rahman, masanya sudah tiba untuk dirinya berehat di rumah.

"Saya tidak rindu dan tiada rasa hendak berlakon sekarang. Saya sudah tua, jadi malas untuk kembali beraksi. Lagipun saya sudah penat... Biarlah orang yang muda-muda berlakon. Sekarang ini, pengarah ramai yang muda-muda dan permintaan mereka berbeza, jadi agak leceh. Tawaran berlakon pun tiada.

"Kali terakhir, saya ingat, ada produksi Hantu Kak Limah yang memberi tawaran tapi saya tidak pergi sebab penggambarannya jauh di Kuala Kangsar, Perak. Anak saya tidak benarkan saya memandu kereta jauh-jauh. Saya hanya boleh memandu berdekatan saja seperti mahu pergi ke kedai, surau atau masjid. Mereka lebih suka saya duduk di rumah bermain bersama cucu dan cicit," katanya.

Memiliki 32 cucu dan 14 cicit, Hamid bahagia melayan kerenah mereka di rumah: "Tapi yang duduk bersama saya sekarang, hanya antara empat hingga lima cucu. Saya ada lapan anak tapi dua anak saya sudah meninggal dunia. Apa yang tinggal adalah enam orang, dua lelaki dan empat perempuan. Alhamdulillah, inilah harta saya dunia dan akhirat," jelasnya.

Bertanya mengenai kesihatan, Hamid atau lebih mesra dengan panggilan Pak Hamid bersyukur masih sihat tanpa penyakit kronik. Prestasi kesihatannya jelas terbukti daripada suaranya yang bertenaga ketika dihubungi BH Online: "Tiada rahsia yang boleh saya kongsi. Ini semua adalah rezeki dan keizinan daripada Allah, mohon pada Dia, maka Dia akan kurniakan kepada kita," ujarnya.

Sementara itu, Hamid bersyukur masih diingati apabila ada pihak yang prihatin menghulurkan sumbangan kepadanya: "Alhamdulillah ada yang datang memberikan sumbangan seperti Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) dan Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT). Seronok apabila dapat tahu mereka tidak lupa saya, terima kasih banyak-banyak kepada pihak yang mengambil berat," tuturnya.

Mengenai persiapan menyambut Ramadan, Hamid berkata, dia bersyukur masih diberi peluang merasai kenikmatan bulan mulia itu: "Tidak banyak persiapan yang dibuat, semuanya biasa-biasa saja. Alhamdulillah saya masih boleh berpuasa. Jadi diharapkan Ramadan ini semuanya baik-baik saja," katanya.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: