17 May 2020

AIDA AGIL MAHU BERJIMAT, HANYA MAKAN ROTI: "SAYA SANGAT BERYUKUR..."


"Alhamdulillah, saya hanya berserah kepada Allah SWT. Walaupun hidup tak mewah, tetapi saya sangat bersyukur masih mempunyai kediaman untuk berteduh. Jika diikutkan, bantuan RM400 tidak mencukupi. Disebabkan itu, saya berjimat cermat, makan roti bersama mentega sahaja.





"Biasanya, sebuku roti boleh bertahan selama beberapa hari. Jika makan nasi, saya kena fikir lauk apa yang mahu dimasak. Jadi, saya memilih roti gandum kerana lebih mudah. Selain makan bersama mentega, ada kala saya menggantikannya dengan sayuran.

"Saya tak suka mengeluh dan tidak pandai meminta. Biarpun wang bantuan yang diperoleh tidak seberapa, tetapi saya sendiri perlu pandai pusing 'modal'," demikian jelas penyanyi era 1990-an, Aida Agil, 61, yang bersyukur masih mempunyai rezeki, walaupun tidak semewah artis lain dan biarpun hanya mengalas perut dengan roti dan mentega.

Penyanyi yang popular menerusi lagu 'Segalanya Pasti' itu berkata, ketiadaan sumber pendapatan sejak diuji penyakit Bell's Palsy pada 2002 menyebabkannya hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan.

Aida yang disahkan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) kerana menghidap penyakit berkenaan berkata, dia terpaksa berjimat cermat menggunakan wang sumbangan JKM kerana perlu membayar kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Sri Stulang, Stulang Laut, Johor Bahru sebanyak RM124 sebulan yang didiami bersama adik bongsunya.

Kata Aida, duit itu jugalah digunakan untuk membayar sewa rumah, api, air, makan minum dan membeli susu tambahan yang berharga RM120 sebulan: "Susu hanya mempunyai 25 paket, jadi saya tak minum setiap hari kerana perlu berjimat cermat," ujarnya yang bersyukur menerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

Aida berkata, dia bertuah dalam kekurangan hidupnya, dia sentiasa didatangi insan yang prihatin. Ada kalanya, rezeki hadir tanpa disangka. Anak kedua daripada 11 beradik itu berkata, adik beradik tidak pernah melupakan tanggungjawab terhadapnya. Mereka sentiasa menghulurkan bantuan mengikut kemampuan.

Dalam saat getir ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, Aida berkata, dia berterima kasih kepada pelakon, Betty Banafe bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menghulurkan bantuan kepadanya. Akuinya, itulah kali pertama mendapat perhatian golongan artis dan NGO. Dia terharu dengan usaha Betty dan NGO mahu membantunya.

Bagaimanapun, katanya, awalnya, dia malu apabila dimaklumkan penyanyi, Ayai Ilusi mengenai hasrat Betty untuk menziarahinya: "Saya tak pernah bertemu Betty. Saya terkejut dan malu apabila Ayai memaklumkan Betty ingin datang menziarahi saya.

Maklumlah, saya hanya tinggal di kediaman PPR, rumah pula kecil. Lagipun, siapalah saya: "Saya berterima kasih, Betty begitu baik hati. Walaupun tidak pernah bersua muka dan berbeza zaman, tetapi Betty tidak lupa mencari penyanyi lama seperti saya," tuturnya.

Sementara itu, Betty berkata, dia memahami pahit getir dilalui golongan veteran, apatah pada hujung usia. Mereka tidak memiliki pencen, apatah lagi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan rawatan secara percuma di hospital. Katanya, jika tidak membantu, siapa lagi yang akan memberikan perhatian kepada penyanyi yang banyak berjasa menghiburkan masyarakat pada zaman kegemilangan mereka.

Justeru, menerusi kempen Jom Sedekah Bersama Banafe, artis kacukan Melayu-Arab itu memastikan golongan seni tidak dipinggirkan. Selain Aida, Betty menghulurkan bantuan kepada Zaleha Hamid dan pelakon lagenda, Mat Sentul.

"Saya sentiasa meletakkan diri saya dalam 'kasut' mereka. Golongan selebriti tidak mempunyai pencen, caruman KWSP, malah tidak layak mendapat rawatan percuma di hospital. Mereka sebelum ini bermati-matian menjadi idola masyarakat tetapi tidak diberikan perhatian sewajarnya.

"Bagaikan satu nikmat apabila melihat mereka tersenyum dengan perhatian dan bantuan yang dihulurkan. Insya-Allah, saya akan pastikan mereka dimasukkan dalam kariah bantuan saya. Jadi, mereka akan menerima bantuan, setiap minggu," katanya.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: