19 May 2020

AL-FATIHAH - BEKAS PEMAIN DRAM UG14 KEMBALI KE RAHMATULLAH


Takziah kami ucapkan kepada ahli keluarga bekas pemain dram kumpulan rock era 1990-an, UG14 iaitu Syed Hanafi Syed Abdullah, 54, atas pemergiannya yang meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru jam 9.15 malam tadi akibat masalah buah pinggang.





Anak sulungnya, Syed Mohd Syafiq, 26, berkata, bapanya yang lebih dikenali dengan panggilan Hafiz juga mempunyai masalah jantung pada 2015 dan menjalani pembedahan dalam tahun yang sama.

"Dalam tempoh itu, keadaan ayah masih stabil sehinggalah hujung tahun lalu dia dikesan mempunyai masalah buah pinggang pula. Ayah mula menjalani dialisis awal tahun ini dan sejak itulah keadaan kesihatannya mula merosot. Badan semakin kurus dan berjalan serta bercakap pun sangat perlahan. Ia berbeza ketika sakit jantung kerana dia masih boleh bekerja dan boleh bermain drum," katanya.

Menurut Syed Mohd Syafiq, keadaan yang kritikal membuatkan bapanya dimasukkan ke hospital untuk rawatan susulan: "Ayah tak boleh membuang air kecil dengan normal selain keadaannya lemah. Darah kotor dalam badan pula terlampau banyak.

"Selain itu, ada kuman dalam badan yang gagal dikesan doktor. Sepatutnya perut arwah akan ditebuk untuk dimasukkan tiub kerana dia tak boleh membuang air kecil dengan normal," katanya.

Klik untuk gambar besar


Syed Mohd Syafiq berkata, dia serta ibu dan tiga lagi adiknya menerima ketentuan Ilahi yang menjemput pulang bapa mereka ketika Ramadan. Jenazah dimandi dan disolatkan di Hospital Sultanah Aminah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kebun Teh, Johor Bahru pagi hari ini.

Sementara itu, penyanyi UG14, Abdul Wahab Zainudin atau Wom ketika dihubungi berkata, kali terakhir dia berjumpa arwah ialah mengadakan busking di Bukit Bintang, Kuala Lumpur: "Saya sempat berbual dengannya menerusi telefon dua hari lalu.

"Dia minta saya sampaikan salam kepada semua sahabat yang lain. Kami sama-sama berkongsi susah dan senang untuk menghasilkan album pertama UG14. Dia seorang pemuzik yang sangat teliti dalam kerja-kerjanya," katanya yang terkilan tidak dapat melawat jenazah Hafiz kerana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Allahyarham dan Wom menganggotai kumpulan UG14 bersama Chico (gitar), Ijam (bass) dan Teddy (keyboard). Mereka popular dengan lagu 'Bunga Larangan' pada pertengahan tahun 1990-an dan kekal diminati sehingga kini.

Selain bersama UG14, beliau mempunyai kerjaya tetap sebagai pemain drum untuk kombo Orkestra Yayasan Warisan Johor. Selain itu, Hafiz juga adalah salah seorang pemimpin orkestra dalam kombo Orkestra Yayasan Warisan Johor. Allahyarham juga abang kepada Ajid, penyanyi kumpulan GET dan saudara tiri kepada pemain gitar Search, Din dan Kid.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: