15 May 2020

AL-FATIHAH - ISTERI AHMAD TARMIZI SINEGAR DIJEMPUT ILAHI


Takziah kami ucapkan kepada pelakon Datuk Ahmad Tarmimi Siregar atas pemergian isterinya, Datin Zulhaila Siregar Sulaiman yang telah menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 2 pagi, Jumaat. Ahmad Tarmimi memaklumkan Allahyarham yang berusia 64 tahun meninggal dunia di kediaman mereka di Bangsar, Kuala Lumpur akibat masalah pernafasan.





"Selalunya setiap kali bangun solat tahajud dalam jam 2 pagi saya akan periksa dia dulu, tapi tadi tidak. Dalam jam 4 pagi baru saya periksa dan mendapati dia sudah tidak bergerak dan kaki pun sejuk. Kali terakhir saya bercakap dengannya sebelum tidur iaitu jam 11 malam.

"Saya sempat hantar video kepada ahli keluarga bagi memaklumkan keadaannya yang tidak berapa okay. Pernafasannya dan oksigen kurang bagus serta nampak penat sangat. Saya nak bawa dia ke hospital, tapi disebabkan penyakit dialami membabitkan paru-paru ditambah pula musim Covid-19, jadi saya fikir ia tidak sesuai. Tidak menjangka pula dia sudah mahu pergi," jelasnya.

Sementara itu, Ahmad Tarmimi berkata keadaan kesihatan isterinya mula merosot beberapa tahun lalu selepas disahkan menghidap penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD) tujuh tahun lalu: "Sakit dialami sudah tujuh tahun, tapi mulai merosot sejak tiga tahun lalu yang mana dia sudah tidak boleh keluar rumah. Kalau keluar pun, kena bawa oksigen bersama. Itu pun sesekali saja.

Klik untuk gambar besar


"Sejak dua minggu lalu dia sudah tidak berapa ingat, malah minggu ini pernafasannya tidak menentu. Jadi, saya bercakap pada diri, saya reda jika Allah mahu mengambilnya. Ambillah dia. Macam semalam pun saya pujuk dia makan dan minum, tapi tak nak. Dia sempat cakap nak peluk anak bongsu yang baru pulang dari kerja," tuturnya.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas Zuhur. Sementara itu, beberapa rakan artis turut berkongsi duka dan memuat naik ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham di Instagram.

"Ambulan dan pegawai perubatan sudah datang buat pemeriksaan tadi. Jenazah tidak dibawa ke hospital. Semua anak pun sudah ada di rumah. Insya-Allah, saya cuba segerakan urusan pengebumian jenazah," katanya.

Untuk rekod, Zulhaila merupakan penerbit bersama filem 'Belukar' lakonan Bront Palarae dan Daphene Iking. Dia juga pernah membintangi filem 'Sepi' pada 2008.




www.myartis.com / Sumber: Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: