13 May 2020

BERPISAH DENGAN ANAK-ANAK KETIKA PKP - BALKISYH BERSYUKUR KEMBALI BERSAMA


Pelakon yang terkenal dengan watak Atul atau Saidatul dalam drama bersiri popular 'Mak Cun', Balkisyh Semundur Khan, 33, bukan sahaja kehilangan punca pendapatan sebagai pelakon dan peniaga susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi turut terpisah selama 48 hari dengan dua anaknya yang berada di Singapura.





Balkisyh kini popular memegang watak Edora dalam drama bersiri 'Bukan Gadis Biasa' itu berkata, dia pertama kali terpaksa berjauhan dengan dua anaknya, Nur Qalesya Mohd Aizat, 11, dan Muhammad Nor Qaisyh Khan Mohd Aizat, 6, berikutan PKP.

"Saya tidak menjangka PKP akan berkuat kuasa menyebabkan saya meninggalkan anak dengan keluarga angkat di Singapura untuk sementara waktu bagi menjalankan pergambaran drama 'Bicara Cinta' di Kuala Lumpur pada 15 Mac lalu. Bermula daripada tempoh itu saya terpisah dengan anak-anak dan hanya mampu berhubung melalui panggilan video sahaja," katanya.

Klik untuk gambar besar


Tambahnya, dia bersyukur selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuatkuasa dia terus berusaha membawa anaknya pulang ke pangkuannya dan sekarang sedang menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin di Hotel Amansari, Nusajaya, Johor.

"Memandangkan sudah mempunyai kontak dengan anak-anak, kami terpaksa dikuarantin bersama sekarang. Kami dikuarantin bermula 6 Mei hingga 19 Mei dan sehingga kini tiada tanda-tanda dijangkiti Covid-19. Tak kisah jika dikuarantin lebih lama asalkan saya dapat bersama dengan anak-anak kerana sepanjang berjauhan dengan mereka, saya berasa tersiksa," katanya.

Menurutnya, dia sebelum ini dikuarantin di rumahnya pada 27 Mac hingga 9 April kerana pernah ke Singapura dan suhu badannya tinggi iaitu 39.8: "Sebaik sahaja tamat kuarantin dan disahkan negatif Covid-19, saya tiada pendapatan seterusnya menjadi agen produk makanan kesihatan dalam talian selain berniaga buah mangga harumanis sepanjang PKP.



"Banyak tawaran belakon yang diterima sepanjang Mac hingga April terpaksa dibatalkan pergambaran kerana PKP. Perancangan untuk melancarkan produk makanan kesihatan sendiri pada Mei juga tertangguh dan malangnya wang modal untuk tujuan itu juga terpaksa digunakan dahulu untuk menampung keperluan harian saya dan anak-anak," katanya.

Bercerita lagi, katanya, dia pernah melalui saat jatuh dan bangun dalam industri seni namun PKP memberi impak yang paling besar terhadap kariernya sebagai pelakon: "Saya baru sahaja ingin membuat kemunculan semula dan banyak menerima tawaran lakonan selepas agak lama tidak aktif dalam bidang lakonan dan peragaan.

"Bagaimanapun saya akur dengan kehendak dan takdir Allah dan perlu positif dan bangkit semula untuk anak-anak," katanya yang turut memberitahu dia bernasib baik kerana semua pihak termasuk petugas barisan hadapan dan peminat sentiasa memberi semangat dan dorongan sepanjang berhadapan dengan dugaan itu.


www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro & Instagram Balkisyh Semundur


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: