06 May 2020

CUBA KUAT, ENGGAN MENANGIS - NORA AKUI DIA & ANAK JUMPA PAKAR PSIKIATRI


Ketika mengenangkan saat manis bersama arwah suami dan anak ketika menyambut Ramadan, hanya perasaan sayu bersarang dalam jiwa penyanyi Nora Ariffin. Jika dahulu, ketibaan bulan Ramadan sentiasa dinantikan apabila dapat menunaikan ibadat puasa dan mengerjakan solat Tarawih bersama keluarga. Kini, segala-galanya hanya tinggal kenangan dan tak mampu berulang.





Pemergian suami, Allahyarham Johan Nawawi, tiga tahun lalu, disusuli anak kedua, arwah Muhammad Syakir Alif Johan pada Disember lalu sekali gus sambutan Ramadan kali ini menghadirkan rasa kosong dalam dirinya.

"Selepas arwah Johan meninggal dunia, sambutan Ramadan dan Syawal kami anak beranak tidak semeriah dahulu. Setiap tahun, saya beriya-iya mahu meraikannya, tetapi segala-galanya berubah, sejak tiga tahun lalu.

"Tentunya, kesedihan berpanjangan berdepan dengan kehilangan arwah anak, Disember lalu. Terus terang, saya sudah tidak rasa apa-apa. Jiwa saya kosong kerana separuhnya sudah dibawa pergi," jelasnya.

Bagaimanapun, seboleh mungkin, wanita cekal ini enggan mengalirkan air mata dan membiarkan dirinya larut dalam emosi demi kebaikan, terutama dua cahaya mata perempuannya, Putri Nur Dahlia dan Putri Nur Fatehah: "Saya tak sedar, kesedihan mengenangkan pemergian arwah suami dan anak memberi kesan kepada Dahlia dan Fateha. Kami bertiga pernah berjumpa dengan pakar psikiatri berhubung masalah ini.

"Kita orang dewasa mungkin boleh mengawal kesedihan, tetapi Dahlia dan Fateha masih muda, sukar mengawal kesedihan hingga memberi kesan pada emosi. Fateha sering menyebut nama dan melukis wajah abangnya. Jadi, saya enggan emosi mereka terkesan. Saya juga dinasihatkan mengawal kesedihan dan tidak membiarkan perkara ini," katanya.

Nora berkata, ada masa mereka berbual mengenai arwah, tetapi hanya setakat itu sahaja: "Saya kena jaga perasaan mereka," ujar pemilik nama lengkap, Wan Norafizah Ariffin ini.

Meskipun cuba menjadi kuat, namun Nora tidak menafikan air mata tumpah juga terutama apabila perasaan rindu bertandang di hati: "Sejak suami pergi, arwah Alif menjadi pendorong buat saya bergiat aktif dalam dunia nyanyian. Ini kerana arwah memiliki kecenderungan terhadap muzik. Arwah juga menjadi tempat saya rujuk bagi mendapatkan perkembangan dan dan aliran muzik terkini.

"Mengenangkannya, kerinduan terhadap arwah anak semakin kuat dan tanpa disedari, saya menangis," tuturnya agak ralat tidak berpeluang menziarah puasa arwah suami dan anak sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasa.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: