13 May 2020

DIDAKWA BUAT KERJA AMAL TAGIH PERHATIAN & AMBIL KESEMPATAN - INI KATA ZARINA


"Saya melakukan kerja kebajikan sejak 10 tahun lalu sebagai hobi. Bagaimanapun, tidak ramai yang tahu kegiatan saya. Ketika mula terbabit dalam projek amal, saya banyak membantu golongan memerlukan di daerah kediaman sahaja.





"Bagaimanapun, skop bantuan diperluaskan ke beberapa negeri lain selepas tempoh PKP. Namun, ada yang mendakwa saya mengambil kesempatan PKP untuk meraih perhatian," demikian ujar pelakon Zarina Anjoulie, 33.

Di sebalik kontroversi yang melatari kehidupan selebriti bermulut lantang ini, mungkin ramai tidak tahu, wanita berasal dari Nilai, Negeri Sembilan ini aktif melakukan kerja kebajikan sejak 10 tahun lalu. Kemuliaan hati Zarina atau lebih dikenali sebagai Anju tersebar apabila berkongsi aktiviti kebajikan di laman Instagram (IG) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pelakon 'Anak Pontianak' itu berkata, dia lebih suka menggunakan duit poket sendiri sejak dahulu: "Biarpun tidak lagi berlakon, saya menjana pendapatan melalui ulasan produk IG. Alhamdulillah, hasil itulah saya gunakan untuk membantu mereka yang memerlukan.

Klik untuk gambar besar


"Saya berterima kasih kepada pengikut saya. Apabila mereka tahu saya menggunakan pendapatan yang dijana melalui IG review untuk diberi semula kepada masyarakat, ramai yang berminat menggunakan khidmat saya membuat ulasan produk mereka.

"Sebenarnya, ramai yang berminat menyumbang sedikit seorang, tetapi saya menolak wang mereka. Jika membabitkan kerjasama tanpa wang, saya terima. Ini kerana saya tidak mampu melakukan semua perkara sendirian," tuturnya.

Zarina atau nama sebenarnya, Zarina Anjoulie Lavocah Mohd Fahizul berkata, dia enggan menerima wang tunai kerana tidak mahu terjadi sesuatu yang tidak diingini yang akhirnya menjadi bahan ungkitan: "Saya hanya menerima bantuan daripada teman rapat, contohnya, Nur Fazura.



"Sebagai langkah keselamatan, saya pastikan memuatnaik resit pembelian barang dan berkongsi gambar bantuan yang disumbangkan. Ini penting supaya penyumbang tahu ke mana wang mereka disalurkan. Selain itu, jika ada pihak yang bersungguh-sungguh hendak menderma, saya akan meminta mereka menghubungi agen saya.

"Sejak PKP, saya ada ada 15 agen bagi memudahkan kerja kebajikan. Saya tidak boleh bergerak ke tempat lain. Jadi, wang disalurkan kepada agen untuk membantu golongan memerlukan di beberapa tempat di Kuala Lumpur, Subang, Petaling Jaya dan negeri lain seperti Perak," jelasnya.

Mengulas tuduhan melakukan kerja amal untuk menagih perhatian, pelakon filem 'Ular' dan 'Amir Dan Loqman Pergi ke Laut' itu berkata, dia tidak perlu beritahu sudah lama menjalankan kerja kebajikan: "Pada yang tahu, tahulah. Apa sahaja tohmahan atau tuduhan orang, tidak sedikit pun melunturkan semangat saya. Seperti saya katakan, saya lakukan kerja amal ini kerana hobi dan atas niat untuk membantu.

"Contoh paling mudah, kita boleh lihat ialah seperti apa yang berlaku kepada Ustaz Ebit Lew. Memang orang tidak pernah puas hati dengan apa yang kita lakukan. Buat baik pun orang tidak suka, apatah lagi buat perkara tidak baik. Bagi saya, kita tidak perlu fikirkan apa yang orang hendak cakap," katanya.


www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram Zarina Anjoulie


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: