13 May 2020
'DEMI TUHAN AKU BERSAKSI' BELUM DITAYANGKAN - FADZIL MOHON PERJELASAN RTM
Telefilem 'Demi Tuhan Aku Bersaksi' yang sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi apabila mengangkat aktiviti songsang itu sehingga kini masih belum ditayangkan biarpun sudah setahun mendapat kelulusan tayangan. Penerbitnya, Fadzil Zahari, 37, meluahkan rasa kecewa dan meminta penjelasan daripada pihak stesen televisyen RTM.
"Sepatutnya telefilem itu ditayangkan tahun lepas. Ia ditangguh ke tahun ini namun masih tiada tarikh yang ditetapkan. Kami ada bertanya kepada pihak RTM tentang tarikh baru itu tapi masih tidak dapat jawapan yang pasti dari mereka," ujarnya.
Pemilik syarikat produksi Prokuya Studios itu berkata, tujuan dia berkongsi entri itu berikutan ramai yang mula bertanya menngenai telefilem tersebut: "Ramai yang mula bertanya bila telefilem itu akan ditayangkan. Kami pun tidak dapat menjawab soalan itu, kerana itu saya kongsikan isu ini di laman Instagram," tuturnya.
Klik untuk gambar besar
Tambahnya, rugi jika 'Demi Tuhan Aku Bersaksi' tidak ditayangkan kerana ia sarat dengan mesej positif selain dakwah yang disampaikan secara halus: "Ia penuh dengan mesej yang positif jadi jika ia tidak ditayangkan, rugi la.
"Bagi saya, telefilem itu sudah terlalu lama disimpan dan apa-apa isu berkenaan pusat keagamaan atau budaya hidup songsang juga sudah jarang dibincangkan jadi tidak salah untuk ditayangkan. Penonton mungkin tidak berminat dengan karya-karya berunsur dakwah tetapi dakwah dalam telefilem ini disampaikan secara halus yang mampu menarik perhatian penonton," katanya.
Mengulas isu ini, Fadzil berkata, telefilem itu turut mendapat maklum balas positif beberapa agamawan termasuk Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan pensyarah Fakulti Pengajian Al-Quran dan As-Sunnah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Kamilin Jamilin.
"Maklum balas yang kami terima sangat baik malah mereka sendiri ada menyatakan yang telefilem ini tidak menyentuh sensitiviti mana-mana pusat tahfiz. Ia tiada elemen mengangkat LGBT (lesbian, gay, biseksual, transgender)," jelasnya.
'Demi Tuhan Aku Bersaksi' mengisahkan tentang seorang maknyah yang ingin kembali ke pangkal jalan dan kembali bertaubat serta mendalami ilmu agama. Watak maknyah yang dipegang Syafie Naswip membuat keputusan masuk ke pusat tahfiz. Namun ketika di pusat tahfiz, dia telah dihina dan dikeji sebagai pengikut kaum Luth.
Sebelum ini, gambar dan sinopsis telefilem ini tersebar di laman sosial sehingga ia menerima kecaman netizen kerana dianggap tidak sensitif gara-gara mengangkat elemen budaya hidup songsang di dalam sebuah pusat keagamaan.
www.myartis.com / Sumber: mStar
________________________
Labels:
Berita sana sini,
Gambar sana sini
No comments:
Post a Comment