26 May 2020

JAMAL ABDILLAH SAMBUT AIDILFITRI PENUH GEMBIRA BERSAMA ISTERI & ANAK


"Alhamdulillah, saya bersyukur dengan anugerah yang Allah berikan terhadap keluarga kami. Azura semakin membesar dan bijak, manakala kandungan isteri kini masuk 14 minggu. Ia membawa kebahagiaan tersendiri yang sukar digambarkan," kata penyanyi legenda Datuk Jamal Abdillah.





Meraikan Aidilfitri kali ini dengan penuh gembira, Jamal, 61, berkata, selain seronok melayan kerenah puteri sulungnya, Nur Azura Yamani yang kini berusia tujuh bulan, dia turut gembira kerana isterinya, Datin Zai Izzati Khiruddin, 25, kini hamil anak kedua mereka.

Jamal berkata, ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini, dia mendapat kebenaran untuk merentas negeri ke Perak bagi menguruskan perniagaan pasir dan ternakan ikan hiasan miliknya.

Dalam masa sama, anak sulungnya, Osama Yamani, 18, kini tinggal bersama ibunya di Ipoh. Anak keduanya, Ahmad Zaki Yamani, 13, pula tinggal bersama ibunya di Kajang, Selangor: "Agak sukar nak temukan mereka kerana kedua-duanya tinggal berasingan dengan ibu masing-masing. Dengan pelaksanaan PKPB ketika ini, ia menjadi lebih sukar," tuturnya.

Jamal berkata, kebiasaaannya dia memberikan wang kepada kedua-dua anaknya itu bagi membeli pakaian raya mengikut citarasa mereka sendiri: "Untuk Osama, saya siapkan sehelai dua pakaian buatnya, manakala untuk Zaki, saya berikan wang kepada ibunya," jelasnya.

Menurutnya, sambutan Aidilfitri kali ini amat berbeza kerana lazimnya dia terbabit mengadakan persembahan di rumah Menteri Besar Perak atau Perdana Menteri: "Tahun ini nampaknya tiada rezeki. Dalam dua bulan ini, saya kena tunda sembilan persembahan tertutup dan empat yang berskala besar termasuk di Esplanade, Singapura.

"Saya 'down' juga dan apabila difikirkan sangat menyedihkan. Tambahan lagi saya perlukan wang untuk pelbagai komitmen. Nasib baik saya beringat. Insya-Allah untuk enam bulan hingga setahun akan datang, saya masih boleh bertahan," ujarnya.

Sempena Aidilfitri, Jamal tampil dengan tiga program TV antaranya Hiburan Dari Rumah di RTM: "Dua program menampilkan saya dengan Osama dan satu lagi secara solo. Ia sesuatu yang baru buat saya dan semua yang terbabit kerana rakaman dibuat dari lokasi berbeza. Rakaman suara saya dibuat di rumah dan saya kena betul-betul faham prosesnya," katanya.

Jamal turut melahirkan hasrat untuk menghasilkan satu lagu yang menggandingkan dia dengan dua anaknya selepas ini. Setakat ini dia sudah mempunyai lagu duet dengan Osama.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro


         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: